Penyanyi lagu ‘Bae Sobar Bae’, 5 individu lain mengaku ambil dadah

Photo of author

By Syima Iza

Penyanyi lagu ‘Bae Sobar Bae’, 5 individu lain mengaku ambil dadah.

Penyanyi dikir barat warga Malaysia bersama lima individu lain hari ini mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan dadah. Namun, mereka tidak mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki pil tersebut, lapor Buletin TV3.

Pengakuan tersebut dibuat di hadapan Hakim Mahkamah Daerah Narathiwat, Yuan, hari ini selepas mereka didakwa atas pertuduhan memiliki 6,059 pil Yaba dan penggunaan dadah yang dipercayai dilakukan mereka di bandar Sungai Golok, dekat sini pada 1 November tahun lalu.

Penyanyi lagu 'Bae Sobar Bae', 5 individu lain mengaku ambil dadah

Tertuduh terdiri daripada Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, yang lebih dikenali sebagai Eda Ezrin, serta lima lagi individu yang didakwa, termasuk suaminya, Mohd Affendi Ahmad, 35, selain Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, Erdeka Mohd Noor, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26.

Keenam-enam mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah hotel di bandar Sungai Golok sekitar jam 5 pagi (waktu Thailand) pada 1 November lalu.

Zuhaira dan Erdeka juga didakwa kerana memasuki Thailand tanpa dokumen sah, selain tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

Tiga peguam, termasuk seorang peguam yang disediakan oleh kerajaan Thailand, mewakili keenam-enam tertuduh.

Bercakap melalui jurubahasa, hakim meminta keenam-enam tertuduh yang mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memiliki dadah untuk mencari bukti dan saksi bagi menyokong tuntutan mereka.

“Kes ini adalah kepentingan awam di Malaysia dan Thailand. Oleh itu, saya mahu memastikan kes ini diselesaikan secepat mungkin.

“Jika biasanya, ia akan mengambil masa kira-kira enam bulan untuk mahkamah menyelesaikan kes seperti ini, tetapi saya berjanji akan membuat keputusan awal Mac,” tambahnya.

Hakim turut bertanya kepada enam rakyat Malaysia itu sama ada mereka ingin menyatakan apa-apa mengenai kes ini, namun semuanya hanya menundukkan kepala.

Hakim menetapkan 11, 13, dan 14 Februari depan untuk keenam-enam tertuduh mencari saksi dan menyediakan bukti kepada mahkamah.

Sementara itu, hampir 50 ahli keluarga berkumpul di luar mahkamah untuk mengikuti perbicaraan.

Terdahulu, penyanyi dikir barat wanita itu dilaporkan memiliki 6,000 dadah jenis pil kuda di sebuah hotel di Sungai Golok. Kesemuanya ditahan di sebuah bilik selepas selesai berhibur pada jam kira-kira 6 pagi (waktu Malaysia).

Baca Lagi:
Ramai pula netizen Indonesia mahu pindah ke Malaysia sebab ini…
‘Lambat transfer kena maki’ isteri dedah suami menyesal kongsi jumlah gaji kepada ahli keluarga
Perunding hartanah dedah syarat untuk memiliki tanah di Kelantan