Penunggang motosikal tercampak atas kubur selepas rempuh kereta

Photo of author

By Syima Iza

Penunggang motosikal tercampak atas kubur selepas rempuh kereta. Seorang penunggang motosikal patah kaki kiri selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah kereta menyebabkan dia tercampak di atas kubur di kawasan Masjid Qariah Alai, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian berlaku jam 10.24 pagi semalam ketika mangsa, Muhammad Amiruddin Basir, 24, yang menunggang Yamaha 135 LC dalam perjalanan dari Alai, di sini, menuju Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ).

Menurutnya, laporan kemalangan itu diterima Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah daripada anggota polis Pondok Hospital Melaka pada jam 10.30 pagi.

Penunggang motosikal tercampak atas kubur selepas rempuh kereta

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila penunggang motosikal terlanggar cermin sisi sebuah kereta dari arah bertentangan lalu hilang kawalan dan merempuh pula Perodua Bezza dipandu guru berusia 37 tahun.

“Perlanggaran itu menyebabkan mangsa melambung sebelum jatuh di atas kubur di kawasan Masjid Qariah Alai,” katanya dihubungi di sini.

Christopher berkata, mangsa yang patah kaki kiri kini dirawat di Hospital Melaka dan siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, pemandu Perodua Bezza itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kita minta saksi bebas tampil menyalurkan maklumat kemalangan kerana di tempat kejadian tiada rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.

Terdahulu, gambar mangsa dalam keadaan terlentang di atas kubur dan memakai topi keledar berwarna biru tular di media sosial selepas kejadian.

Baca lagi:
Tak ubah seperti mayat sebenar! Gambar Adam Corrie sedang dikafankan buat netizen insaf
Roti sosej berkulat: Zus Coffee mohon maaf, jelaskan keadaan sebenar
2 bulan terperangkap dalam kereta diliputi salji, lelaki ini masih hidup tanpa makanan