Penumpang panik ‘Power bank’ meletup dalam kabin pesawat cetus kebakaran

Photo of author

By Syima Iza

Penumpang panik ‘Power bank’ meletup dalam kabin pesawat cetus kebakaran. Dua penumpang sebuah penerbangan tambang murah cedera selepas sebuah pengecas mudah alih (power bank) meletup dan mencetuskan kebakaran ketika pesawat bersedia untuk berlepas di Taiwan, kelmarin, lapor portal berita MailOnline.

Rakaman yang tular di media sosial menunjukkan pramugari syarikat penerbangan Scoot itu cuba menenangkan penumpang ketika kebakaran mencetuskan situasi panik.

Kebakaran dilaporkan bermula apabila sebuah ‘power bank’ meletup, menyebabkan asap memenuhi ruang kabin serta memaksa kesemua 189 penumpang dan kru meninggalkan pesawat tersebut.

Penumpang panik 'Power bank' meletup dalam kabin pesawat cetus kebakaran

Ketika kejadian, pesawat sama bersiap sedia untuk berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan di Taiwan menuju ke Singapura, sekitar pukul 7.35 malam (waktu tempatan).

Dua penumpang penerbangan TR993 itu melecur ringan, manakala penumpang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

Salah seorang daripada penumpang yang cedera merupakan pemilik ‘power bank’ tersebut dan seorang lagi ialah rakannya.

Menurut beberapa penumpang, mereka melihat api jingga di barisan ke-16 di mana dua penumpang tersebut duduk. Berikutan kejadian itu, juruterbang bertindak membatalkan untuk berlepas.

Pesawat tersebut kembali dalam keadaan selamat selepas api dipadamkan serta menjalani pemeriksaan lanjut. Penerbangan kemudian disambung semula pada petang hari yang sama.

Seorang penumpang, Angie Ton memberitahu saluran berita Channel News Asia bahawa pramugari pesawat tersebut patut diberikan pujian kerana berjaya menangani situasi bahaya itu secara profesional.

“Pujian perlu diberi kepada semua kru penerbangan kerana tahu apa yang perlu dilakukan. Mereka layak diberi pengiktirafan kerana latihan, kerja keras serta sikap yang tenang,” katanya.

Baca Lagi:

Guna 3 cara ini kesan kamera tersembunyi sebelum tukar baju di fitting room
Sepasang kekasih ‘terakam’ objek UFO berhampiran gunung berapi aktif
Pelik tapi benar, pemandu Myvi ini guna kad ucapan setiap kali tukar lorong