Sekurang-kurangnya sembilan maut, termasuk seorang kanak-kanak, apabila sebuah pentas runtuh akibat ribut ketika satu acara kempen pilihan raya berlangsung di utara Mexico, semalam.
Gabenor Nuevo Leon, Samuel Garcia, berkata sekurang-kurangnya 50 lagi mengalami kecederaan dalam insiden berkenaan, malah beberapa mangsa dilaporkan parah.
Rakaman kejadian yang disiarkan media tempatan menunjukkan keadaan huru-hara dengan orang ramai bertempiaran menyelamatkan diri dari pentas yang roboh itu, manakala lampu serta skrin gergasi tumbang ke tempat di mana calon jawatan Presiden, Jorge Alvarez Maynez, dan sejumlah ahli partinya Citizens’ Movement sedang berdiri.
“Saya dengan dukacitanya ingin memaklumkan bahawa mereka yang terkorban membabitkan lapan orang dewasa dan seorang kanak-kanak, setakat ini,” kata Garcia dalam kenyataan melalui X.
Bercakap kepada pemberita di lokasi kejadian di bandar San Pedro Garza Garcia, beliau menyifatkan nahas itu sebagai satu tragedi.
Sementara itu, Maynez, 38, yang terselamat tanpa kecederaan serius dilaporkan mengambil keputusan untuk menangguhkan acara kempen seterusnya berikutan insiden berkenaan.
Maynez menjelaskan pentas terbabit runtuh akibat angin kencang, dan beliau akan terus berada di tempat kejadian sehingga semua mangsa yang mengalami kecederaan selesai dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Rakaman yang dikongsi turut memaparkan pasukan perubatan mengusung mayat ke dalam van, manakala anggota tentera sibuk melakukan kawalan di lokasi berkenaan yang dipenuhi serpihan runtuhan dan poster kempen bertaburan di atas tanah.
AMARAN VIDEO INI MUNGKIN MEMBABITKAN VISUAL YANG BERBAHAYA DAN MENGERIKAN.
Sekurang-kurangnya sembilan individu maut termasuk seorang kanak-kanak selepas pentas di perhimpunan kempen pilihan raya dekat San Pedro Garza García roboh akibat ditiup angin kencang. #AWANInews pic.twitter.com/sn0F78ibAg
— Astro AWANI (@501Awani) May 23, 2024
Kejadian berlaku pada acara penutupan kempen calon daripada Citizens’ Movement, Lorenia Canavati yang bertanding jawatan Datuk Bandar San Pedro Garza Garcia.
Calon-calon lain daripada parti itu yang bertanding jawatan Senator dan Ahli Parlimen turut menghadiri acara berkenaan.
Menceritakan detik cemas itu, Jose Juan yang hadir pada acara berkenaan, berkata struktur terbabit tumbang lalu menimpa calon-calon serta penyokong mereka.
“Keadaan begitu panik dan histeria ketika itu. Saya kemudian jatuh pengsan apabila terdapat struktur yang menimpa kepala saya,” katanya kepada stesen penyiaran, Televisa.
Terdahulu, agensi meteorologi Mexico memberi amaran akan cuaca hujan lebat dengan angin kencang mencecah kelajuan 70 kilometer sejam dan kemungkinan puting beliung diramalkan melanda Nuevo Leon serta negeri-negeri lain di bahagian utara.
Rakyat Mexico dijadualkan mengundi pada 2 Jun depan bagi memilih Presiden baharu, Ahli Kongres, Gabenor beberapa negeri dan pegawai tempatan.
Baca Juga: