Peniaga gerai jalanan bengang Influencer tawar diri untuk ‘food review’ sampai caj RM3000.
Memang tidak dinafikan semakin banyak peninjau makanan di luar sana sering dipanggil oleh pemilik kedai makan untuk menarik pelanggan baharu dengan kuasa viral dan populariti mereka.
Bagaimanapun, ada kalanya sebahagian influencer sengaja mengambil kesempatan dengan menghubungi pemilik kedai makan atau gerai untuk mendapatkan makanan dan mengenakan caj tertentu walaupun tidak diminta.
Baru-baru ini, seorang peniaga gerai yang dikenali sebagai ‘Abang Nasi Goreng’ berkongsi pengalamannya berdepan dengan seorang influencer yang menawarkan servis ulasan makanan dengan caj yang tidak masuk akal.
Menurut Abang Nasi Goreng, influencer tersebut telah menghubunginya dan menawarkan diri untuk membuat ulasan makanan yang dijual, tetapi dengan harga yang terlalu tinggi.
“Ada influencer makanan nak ulas gerai aku. Gerai aku ni tepi jalan je, kau offer sampai ribu-ribu! Agak mengejutkan apa yang dia tawarkan, yang penting bukan bawah RM3,000. Kos dia gila!
“Kalau bayar mahal-mahal, aku dapat lebih 1 juta views, ok juga. Aku ni gerai jalanan, bukan boleh absorb crowd gila-gila. Agak-agaklah nak offer. Hampeh betul! Geram eaaa, senang diorang nak buat duit. Makan dapat, duit pun dapat.
“Senang buat duit. Bila dah buat, dah bayar, tapi video tak menjadi. Boleh dapat balik tak duit (money back guarantee)?” luahnya.
Perkongsian peniaga kecil itu di platform Threads langsung menjadi perhatian dan rata-rata netizen meluahkan rasa ketidak puasan hati dengan sikap influencer terbabit yang mengaut untung mudah menerusi peniaga kecil seperti itu.
Dalam masa sama, netizen turut memuji peniaga nasi goreng itu kerana tidak termakan dengan permintaan influencer kerana mengetahui skala bisnesnya yang kecil.