Peniaga di Terengganu pakai uniform ala Komunis di kecam berjemaah dengan netizen.
Sebuah video yang menjadi tular baru-baru ini mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia apabila ia memaparkan seorang penjual di sebuah bazar di Kuala Terengganu memakai pakaian ala tentera dengan logo bintang merah yang sering dikaitkan dengan ideologi komunis.
Dalam video tersebut, individu berkenaan dilihat mengendalikan kuali pemanggang sambil memakai pakaian seragam tentera yang menyerupai uniform tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Difahamkan, logo bintang yang terdapat pada pakaian itu adalah simbol yang digunakan pemberontak komunis semasa Darurat Malaya antara tahun 1948 hingga 1960.
Selain itu, video berkenaan turut memaparkan beberapa individu lain di gerai tersebut yang mengenakan kostum berbeza, termasuk seorang berpakaian ala Arab dan seorang lagi berpakaian tradisional penduduk kampung zaman dahulu. Berdasarkan maklumat yang dikongsi di TikTok, gerai tersebut terletak di Dapo Pata Kontena, Pantai Tok Jembal, Kuala Terengganu.
Video itu juga menunjukkan suasana bazar dengan beberapa gerai lain yang bertemakan konsep unik. Berdasarkan kostum yang dipakai, gerai tersebut dipercayai bertemakan filem klasik P. Ramlee.
Walau bagaimanapun, tindakan lelaki itu memakai pakaian seragam yang menyerupai tentera komunis telah mendapat kecaman hebat daripada pengguna media sosial. Rata-rata menyatakan rasa tidak puas hati dan menganggap lelaki itu tidak peka dengan sensitiviti masyarakat di Malaysia.
Beberapa komen di platform media sosial X menegaskan bahawa tindakan tegas perlu diambil, dan seseorang sepatutnya menegur individu tersebut kerana pakaian dengan logo komunis dianggap sangat sensitif di negara ini.