Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang pengurus besar sebuah agensi kerajaan di Kelantan bagi membantu siasatan berhubung kes pegawai kanannya yang disyaki membuat tuntutan palsu sejak tahun lalu.
Menurut sumber, lelaki berusia 50-an itu ditahan ketika dipanggil memberi keterangan di pejabat SPRM, di sini, pada pukul 11 pagi tadi.
“Lelaki itu ditahan selepas memberi keterangan. Dia akan dibawa ke mahkamah esok untuk permohonan reman,” katanya.
Difahamkan, penahanan pengurus besar itu dijalankan selepas pegawai kanan agensi berkenaan ditahan selepas disyaki membuat tuntutan palsu pada Selasa lalu.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, seorang pegawai kanan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) dicekup SPRM selepas disyaki membuat tuntutan palsu sejak tahun lalu.
Lelaki yang berusia 40-an itu ditahan ketika dipanggil memberi keterangan di pejabat SPRM di sini kira-kira pukul 9.30 malam pada Selasa lalu.