Pengunjung Bazar Ramadan Rahmah akan terima e-dompet RM20

Photo of author

By Syima Iza

Pengunjung Bazar Ramadan Rahmah akan terima e-dompet RM20. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyediakan peruntukan RM2.3 juta sebagai insentif yang akan diberi kepada kira-kira 96,000 pengunjung Bazar Ramadan Rahmah di seluruh negara.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh, berkata melalui Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) itu, pengunjung Bazar Ramadan Rahmah bakal menerima e-dompet bernilai RM20 seorang melalui operator atau penyedia platform e-dompet yang bekerjasama dengan kementeriannya.

Beliau berkata, insentif e-dompet itu akan diberikan kepada 6,000 pengunjung setiap negeri sepanjang Ramadan dan pengunjung boleh mendapatkannya di kaunter yang ditempatkan di bazar berkenaan.

Pengunjung Bazar Ramadan Rahmah akan terima e-dompet RM20

Katanya, setakat ini KPDN mempunyai 29 Bazar Ramadan Rahmah yang berdaftar, namun selepas ini lebih banyak lagi akan mendaftar dengan sasaran 50 bazar seluruh negara yang akan ditempatkan di kawasan B40 tetapi lokasi masih sedang dikenal pasti.

“Insentif ini akan diberi kepada 1,000 pengunjung terawal di bazar terpilih melalui operator atau penyedia platform e-dompet yang bekerjasama dengan KPDN.

“Setiap negeri kita laksanakan sebanyak enam kali, ini bermakna 6,000 pengunjung akan menerima manfaat daripada inisiatif itu di setiap negeri dengan pengguna hanya dapat sekali saja insentif berkenaan,” katanya pada sidang media selepas Program Bubur Lambuk Sempena Ambang Ramadan di tapak Pasar Tani UTC, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang, Saiful Sadri.

Sebanyak 17 kawah bubur lambuk dimasak secara bergotong-royong bersama jawatankuasa dan peniaga pasar tani berkenaan, untuk diedarkan kepada orang ramai.

Fuziah berkata, selain membantu rakyat, inisiatif itu juga bagi menggalakkan pengguna dan peniaga ke arah digital dan transaksi tanpa tunai.

“Setakat ini kita sudah menjalinkan kerjasama dengan dua operator e-dompet, namun masih membuka peluang kepada lebih banyak operator untuk menjadi rakan strategik kita.

“Selain itu, Bazar Ramadan Rahmah juga berbeza dengan bazar Ramadan biasa kerana kita menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus peniaga menyediakan Menu Rahmah,” katanya.

Fuziah turut mengingatkan peniaga bazar Ramadan supaya sentiasa mematuhi peraturan dengan mempamerkan tanda harga dan menawarkan harga berpatutan, manakala pengguna juga diingatkan menjadi pengguna bijak.

Beliau berkata, peniaga yang ingkar mempamer tanda harga boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Sementara itu, Saiful berkata, pihaknya menyasarkan nilai jualan lebih RM3 juta menerusi Program Jualan Ramadan MADANI, yang akan dianjurkan sepanjang bulan puasa di 18 lokasi di seluruh Pahang.

Baca Lagi:
Petisyen Parlimen Marang: Hadi hadir ke mahkamah sebagai saksi
7 lelaki diberi notis amaran kerana berseluar pendek
Wanita bersama 2 anak bawa parang cuba terjun jambatan