Pengemis warga asing raih RM400 hingga RM500 sehari di bazar Ramadan, siap tidur kat hotel

Photo of author

By Syima Iza

Pengemis warga asing raih RM400 hingga RM500 sehari di bazar Ramadan, siap tidur kat hotel. Kegiatan pengemis warga asing yang meraih wang sedekah sekitar RM500 setiap hari di bazar Ramadan di sekitar negeri ini tumpas dengan penangkapan dalang utama sindiket itu dalam Op Pengemis, kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira pukul 7.30 petang itu, suspek lelaki tempatan berusia 35 tahun terbabit ditangkap bersama-sama tiga pengemis warga asing berusia antara 33 sehingga 46 yang dibawanya dari Kuantan.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, serbuan itu dibuat selepas pihaknya menerima aduan berkenaan aktiviti mengemis yang semakin meningkat di bazar Ramadan, pusat beli-belah dan pasar raya dengan sebahagiannya turut tular di media sosial.

Pengemis warga asing raih RM400 hingga RM500 sehari di bazar Ramadan, siap tidur kat hotel

Katanya, susulan itu polis bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) telah menjalankan operasi bersepadu bagi mengambil tindakan terhadap sindiket ini.

“Dalam Op Pengemis dijalankan, kita berjaya menahan empat individu termasuk tiga lelaki warga asing kerana terlibat dalam aktiviti mengemis kononnya bagi tujuan pembinaan sebuah sekolah agama di Selatan Thailand.
“Kita juga merampas dokumen-dokumen yang digunakan bagi tujuan memperdaya orang ramai dan wang tunai berjumlah RM736,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga warga asing itu telah dibawa oleh dalang dari Kuantan ke Melaka semata-mata bagi melakukan aktiviti mengemis.

“Dalang utama ini bertanggungjawab membawa tiga warga asing itu ke Melaka dengan menggunakan kenderaanya bagi tujuan mengemis dan menguruskan tempat tinggal mereka di sebuah hotel di Jalan Tun Perak di sini.

“Sindiket ini turut juga memperolehi hasil kutipan harian antara RM400 sehingga RM500 dengan menyasarkan tapak-tapak bazar Ramadan,” katanya.

Tambahnya, hasil soal siasat suspek utama turut mendakwa dia merupakan pengusaha kantin di sebuah sekolah di Kuantan.

Zainol berkata, kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda.

Baca Lagi:
Isteri Musa Hassan fail permohonan cerai
‘Usaha tangga kejayaan’ – Wanita ini lulus ujian memandu pada percubaan kali ke-960
Teringin nak makan kaki ayam, lelaki terbeli sup kaki ayam kuku panjang macam ‘zombie’