Pengasas Housboom kongsi zaman gelap, ‘Nak Beli Susu Anak Pun Pinjam Along’.
Pengasas minuman popular Hausboom, Azri Zahier Azmi, mendedahkan detik paling sukar dalam hidupnya ketika membina perniagaan. Beliau terpaksa meminjam wang daripada along demi kelangsungan hidup serta membesarkan anaknya yang baru lahir.
Dalam hantaran di Facebook, Azri berkongsi betapa sukarnya memperoleh modal perniagaan sehingga terpaksa berhutang hanya untuk membeli susu anak dan membayar sewa rumah.
“Aku tulis ini sambil menangis. Demi Allah, ini zaman gelap yang aku sebenarnya tidak ingin kenang. Anak baru lahir, hendak beli susu anak, hendak bayar sewa rumah pun aku pinjam along dulu. Peritnya waktu ini, Allah sahaja yang tahu,” luahnya, memetik laporan Sinar Harian.
Azri berkata, kisah ini tidak pernah diceritakan kepada ahli keluarganya sebelum ini. Namun, selepas menerima kecaman dalam sebuah podcast yang mendakwa kejayaannya berpunca daripada ‘cable’ atau bantuan kewangan keluarga, beliau merasakan perlu berkongsi kisah sebenar perjalanan getirnya.
Perjalanan Getir, Bukan Kerana ‘Cable’
Pendedahan ini dibuat bagi menepis spekulasi bahawa kejayaannya adalah hasil bantuan keluarga. Sebaliknya, Azri menegaskan bahawa modalnya datang daripada pelbagai sumber termasuk pinjaman daripada rakan-rakan yang dipercayai.
“Yang aku ada ialah sahabat-sahabat sejati. Mereka ini, aku kawan dari tadika sampai sekarang. Kebanyakan mereka pekerja kerajaan yang lebih mudah mendapatkan pinjaman. Ada juga yang bekerja sebagai pemandu lori sampah, kakitangan pusat zakat Perak, pembantu perubatan, malah ada yang pinjamkan wang ibu mereka untuk aku,” jelasnya.
Menurutnya, rakan-rakan ini sanggup mengumpulkan dana dan memberinya pinjaman bagi memastikan perniagaannya dapat diteruskan.
Pelbagai Kerja Sebelum Hausboom Berjaya
Untuk mengekalkan kelangsungan Hausboom sekitar 2016 hingga 2017, Azri tidak hanya bergantung pada satu sumber pendapatan.
“Aku banyak buat job trading untuk beranakkan modal. Dari jual kelapa, jual kambing, jual ikan, tanam dan jual sayur, jual santan, sehinggalah perniagaan barang-barang minyak dan gas. Dalam masa yang sama, aku mengusahakan kedai makan,” katanya.
Beliau turut mengakui sedar akan hukum riba dan sudah melakukan taubat nasuha, memohon keampunan kepada Allah atas tindakan terdesaknya ketika itu.
Kisah Azri ini membuktikan bahawa kejayaan bukan datang dengan mudah, tetapi hasil usaha gigih, kecekalan, dan sokongan daripada sahabat sejati. 🚀