Pengarah, pelakon W:Two Worlds mohon maaf gara-gara adegan bercium.
Pengarah siri, W: Two Worlds, Yusrry Abdul Halim, tampil memohon maaf berhubung kontroversi adegan ‘bercium’ yang mengundang rasa kurang senang dalam kalangan penonton.
Pelakon terbabit iaitu Hun Haqeem dan Daiyan Trisha turut mengambil langkah sama.
Jelas Yusry, selepas ini dia akan lebih berhati-hati ketika menghasilkan babak-babak romantis dalam karya arahannya.
“Kami terima teguran itu dan ambil maklum mengenainya. Kami akan pastikan perkara ini tidak akan berulang pada masa akan datang. Kami minta maaf,” ulas Yusry ketika ditemui media di parti W: The Two Worlds Watch malam tadi.
Pada masa sama, Yusry turut menjelaskan bahawa dia dan pelakon terlibat tidak dapat mengulas lanjut kerana menghormati permintaan platform penstriman, Viu yang meminta mereka tidak memberikan sebarang komen.
Sebelum ini tular di sosial media membabitkan babak watak utama siri itu, Hun Haqeem dan Daiyan Trisha bercium biarpun ia berlapik dengan sehelai kain.
Netizen menganggap adegan itu tidak wajar dipaparkan kepada khalayak, walaupun ia tidak bersentuhan secara langsung. Ini kerana ia seolah-olah tidak menjaga sensitiviti masyarakat Malaysia, lebih-lebih lagi dalam kalangan penonton beragama Islam.
View this post on Instagram
W: Two Worlds diumumkan sebagai salah satu daripada 5 siri Viu Originals untuk tayangan bagi tahun 2023 dalam satu sidang media yang diadakan pada 1 Disember 2022.
Ia diadaptasi daripada siri drama Korea Selatan yang ditayangkan pada 2016 dengan tajuk yang sama dan ia dibintangi oleh Lee Jong-suk dan Han Hyo-joo. Viu Malaysia adalah negara ketiga yang menerbitkan adaptasi drama berkenaan selepas Thailand dan China.