Penemuan pergelangan tangan terputus dalam kereta terbakar rupanya bergaduh rebut kawasan dadah

Photo of author

By Syima Iza

Pergaduhan melibatkan tiga lelaki dengan 20 lelaki lain berhampiran jalan di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah, Tanjung Rambutan, menjawab kes penemuan pergelangan tangan manusia di lokasi kemalangan kenderaan di kawasan terbabit hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata pihaknya menerima laporan berkaitan pergaduhan yang menyebabkan kecederaan parah terhadap tiga lelaki berusia 26 hingga 30 tahun itu pada jam 11.03 pagi.

“Siasatan mendapati mangsa pertama mengalami kecederaan hampir putus pergelangan tangan kiri, mangsa kedua putus pergelangan tangan kiri, manakala mangsa ketiga putus urat di tapak tangan kiri. Mereka (mangsa) dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Penemuan pergelangan tangan terputus dalam kereta terbakar rupanya bergaduh rebut kawasan dadah

Beliau berkata berdasarkan keterangan yang direkodkan, ketiga-tiga lelaki itu menyatakan mereka diserang oleh kira-kira 20 lelaki yang memakai topeng dan bersenjatakan kayu serta parang.

Menurut Abang Zainal Abidin, pergaduhan itu dipercayai akibat perebutan kawasan dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 serta Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

“Susulan itu, polis telah menahan tiga lelaki berusia antara 23 hingga 37 tahun yang disyaki sebagai suspek kes berkenaan bagi membantu siasatan. Kesemuanya akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini esok untuk permohonan reman,” katanya sambil menambah bahawa polis sedang mengesan suspek lain yang masih bebas.

Beliau memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp Mohamad Syafiq Mohd Ghazali, menerusi talian 013-7962051 atau mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.

Terdahulu, pergelangan tangan manusia yang terputus dijumpai berhampiran lokasi sebuah kereta terbakar selepas terbabit dalam kemalangan di hadapan Hospital Bahagia Ulu Kinta dekat Tanjung Rambutan, di sini pagi tadi.

Baca Juga:
Kecoh budak perempuan 12 tahun bertunang dengan duda anak satu
Wanita Jepun masak ramen versi Malaysia bertukar menjadi ‘Sup Cendol’ buat netizen gelihati
Tular pemuda cari kerja untuk buat beli lauk sambil kesat air mata undang ramai sebak