Penduduk sempat kutip beras, bihun sebelum hangus terbakar

Photo of author

By Syima Iza

Sebelum terbakar, penduduk sekitar Payat Rumput, berdekatan dengan sini, sempat mengutip beras dan barangan makanan asas lain dari lokasi di Kuala Krau, Temerloh yang dibakar semalam.

Tinjauan MalaysiaGazette hari ini mendapati tapak pelupusan sampah haram masih terdapat saki baki bihun yang masih berlaku sehingga 31 Disember 2025 terselit di dalam celahan sampah.

Beberapa penduduk kampung yang mengunjungi tapak pelupusan sampah itu dilihat mencari-cari baki makanan yang boleh diselamatkan.

Penduduk sempat kutip beras, bihun sebelum hangus terbakar

Penternak, Mohd Nor Hakim Abu Bakar, sempat mengambil berpaket beras pada petang semalam dan berharap ada lagi rezeki pada hari ini, namun rezeki tidak berpihak kepadanya.

Bagi Mohd Nor Hakim, pihak yang bertanggungjawab perlu menguruskan pelupusan beras tamat tempoh dan barangan keperluan dengan cara yang betul dan tidak dengan membakar di tapak pelupusan sampah.

”Sebagai seorang penternak ayam kampung dan ayam daging, saya berasa kecewa kerana beras ini dibuang begitu sahaja seolah-olah beras tidak penting. Kita perlu mencari jalan penyelesaian yang lebih baik daripada membuang dan membakarnya seperti ini.

”Saya sempat mengambil beras empat paket selepas mengetahuinya dari Facebook semalam, jadi hari ini saya fikir nak ambil lagi tetapi sudah terbakar,” katanya.

Menurut Mohd Nor Hakim, walaupun beras tersebut sudah tamat tempoh, namun baginya ia masih berguna untuk haiwan peliharaannya.

Beliau mengakui selain dari beras, ada banyak lagi barang seperti tepung, sardin, beras, dan susu yang dibakar di situ.

”Walaupun beras ini tidak sesuai untuk dimakan, tetapi ia masih boleh digunakan untuk haiwan. Saya datang mengambil bersama sepupu semalam, ini adalah pengalaman pertama saya selepas tinggal di sini selama tujuh hingga lapan tahun,” katanya.

Sementara itu, Nasarudin Ramli mengungkapkan kekecewaannya terhadap tindakan pihak tertentu yang tidak mengagihkan barang tersebut kepada golongan yang memerlukan sehingga tamat tempoh dan membuang beras adalah pembaziran.

Beliau berkata, membuang kira-kira 500 paket makanan asas rakyat Malaysia itu adalah tindakan yang tidak menghargai nikmat rezeki yang diberikan oleh Allah berbanding rakyat di negara lain yang sedang menghadapi ancaman kebuluran. ”Setahu saya, tempat ini tidak diizinkan untuk buangan sampah, memang tidak wajar untuk membuang beras dalam keadaan seperti ini.

”Beras memang sudah rosak tetapi barang lain seperti bihun, sardin, tepung masih dalam keadaan baik. Malahan, ada orang lain yang membawa pulang untuk dimakan,” katanya.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan perbuatan membakar beras di sebuah tapak pelupusan sampah mendapat reaksi bekas Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said, yang mengakui ia adalah miliknya.

Beliau meminta maaf dan menyatakan rasa kesal atas kesilapan dalam memantau cara pelupusan barangan dapur tersebut.

Baca Juga:

Cik B sedih tahun ni tak dapat duit raya, sekali ‘followers’ spam duit raya sampai rosak kod QR Cik B
Jangan buang bekas telur, wanita ini kongsi tips nak elakkan sampah berbau & berair dengan mudah
Niat nak ‘wish’ selamat hari raya, tapi tidak sangka pula dapat duit raya