Penduduk di Pantai Siring berdekatan gempar apabila sekumpulan nelayan berjaya menangkap seekor buaya tembaga seberat lebih 500 kilogram (kg), pagi tadi.
Beberapa klip video berkaitan dengan kejadian itu turut menjadi tular di media sosial yang memaparkan sang buaya ditambat menggunakan tali di pesisir pantai yang dipercayai untuk menunggu tindakan lanjut dari pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Turut hadir di lokasi adalah sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau untuk memberikan bantuan awal.
Komander Operasi Penguasa Bomba Kanan II, Mohd. Suffian Abu Bakar, menyatakan bahawa panggilan kecemasan diterima pada pukul 12.06 tengah hari tadi.
“Pasukan sampai pada pukul 12.17 tengah hari dan mendapati seekor buaya tembaga sepanjang lima meter telah berjaya ditangkap oleh nelayan di kawasan tersebut.
“Pasukan bomba telah berhubung dengan Perhilitan berkenaan dengan penangkapan tersebut dan kami sedang berbincang mengenai pengangkutan untuk membawa haiwan tersebut ke pusat konservasi,” katanya.
Sebelum itu, salah satu klip video berdurasi 25 saat turut memaparkan beberapa penduduk kampung yang datang ke lokasi semata-mata untuk merakam gambar bersama haiwan pemangsa itu.
View this post on Instagram