Seorang wanita yang baru melahirkan terpaksa diusung oleh penduduk kampung sejauh 1 kilometer kerana jambatan di kawasan mereka hampir runtuh, lapor portal berita Okezone semalam.
Pihak ambulans terpaksa berhenti dan menurunkan pesakit wanita itu di hadapan jambatan sebelum dibantu oleh penduduk tempatan.
Menurut penduduk yang dikenali sebagai Zhon Kennedi, tidak ada jalan lain ke kampung mereka selain menggunakan jambatan tersebut.
Mereka terpaksa mengangkat wanita itu menggunakan pengusung dan melalui jambatan yang kelihatan berbahaya.
“Jambatan ini sudah berada dalam keadaan buruk sejak tiga tahun lalu dan ia membimbangkan kami semua kerana inilah satu-satunya laluan utama untuk keluar dari kampung,” kata Zhon.
Kejadian dilaporkan berlaku di Padang Lawas Utara, wilayah Sumatera Utara.