Penduduk Kampung Merang gempar ratusan cacing keluar dari tanah,
Kemunculan ratusan cacing dari sehari ke sehari di Kampung Merang di sini menimbulkan tanda tanya dan mencetuskan rasa hairan penduduk.
Sakinah Zamri, 26, berkata puluhan cacing dilihat memenuhi halaman rumah ketika dia sedang membersihkan kawasan berkenaan kelmarin.
“Saya tengok banyak cacing atas tanah, seakan-akan sedang berhijrah dari satu tempat ke tempat lain. Jumaat lalu cuaca sedikit panas, jadi saya sangka ia kerana cacing kepanasan dan kemunculannya hanya sementara, namun berlanjutan hingga hari ini.
“Ini kali pertama saya lihat dan ibu serta bapa juga hairan kerana tidak pernah berlaku. Jika seekor atau dua cacing, ia perkara biasa, tetapi bila banyak keluar dari tanah dan bergerak ke kawasan lain setiap hari, timbul tanda tanya.
“Kami juga bimbang ia petanda sesuatu yang buruk bakal berlaku,” katanya memaklumkan spesies cacing yang dilihatnya itu panjang dan bergerak aktif apabila disentuh.