Penduduk gempar ‘orang minyak’ ketuk pintu di Kuala Pilah

Photo of author

By Syima Iza

Penduduk gempar ‘orang minyak’ ketuk pintu di Kuala Pilah.

“Selepas tiga kali pintu diketuk, terdengar tombol pintu pula dipulas. Ia betul-betul dekat dengan tempat saya tidur dan dapat dengar dengan jelas,” kata Nafisah Mohm Sahabuddin, 38, penduduk Kampung Kepis Ulu, di sini.

Misteri ketukan pintu itu kini menghantui penduduk Kepis Ulu dan hingga awal pagi tadi sekurang-kurangnya 13 rumah menerima ‘tetamu’ tak undang itu sejak malam 31 Disember lalu.

Penduduk gempar 'orang minyak' ketuk pintu di Kuala Pilah

Penduduk mendakwa, selepas diselidik kejadian itu memang tidak menunjukkan sebarang kehadiran atau perbuatan manusia.

Nafisah berkata, kejadian jam 3.50 pagi Ahad lalu ketika dia sedang tidur bersama nenek dan anak perempuannya yang berusia 10 tahun.

“Selepas dengar ketukan dan tombol pintu dipulas, saya terus bangun dan buka lampu namun tidak berani untuk buka pintu kerana bimbang jika ada perkara yang tidak diingini berlaku.

“Saya kemudian tinjau melalui tingkap, namun tidak nampak sebarang kelibat. Selepas itu saya memang tidak dapat tidur sebelum ibu yang tidur di bilik lain terjaga jam 4.30 dan bertanya apa yang terjadi,” katanya ditemui, malam tadi.

Jelasnya lagi, kira-kira jam 6 pagi dia dan ibunya keluar meninjau bagi melihat keadaan di luar rumah berhampiran pintu, namun tidak menemui sebarang jejak atau kesan kehadiran manusia.

“Jika ada orang datang ke rumah memang akan ada jejak kaki kerana keadaan di hadapan rumah becak selepas hujan pada malam kejadian. Saya difahamkan kejadian sama berlaku di dua rumah lain pada malam sama,” katanya.

Hasdi Abu Hasan, 52, berkata rumahnya diganggu ketukan misteri itu sebanyak dua kali masing-masing pada malam 31 Disember dan 2 Januari lalu.

“Saya difahamkan rumah saya adalah kediaman pertama yang diganggu ketukan misteri di kawasan ini. Kedua-dua kejadian berlaku ketika saya tiada di rumah, namun diceritakan anak dan ibu saya.

“Apa yang membuatkan saya hairan, di kawasan rumah saya terdapat dua anjing, namun ketika kedua-dua kejadian, haiwan berkenaan membisu,” katanya menasihatkan anak serta ibunya memasang lampu di luar rumah.

Sementara itu, Pengerusi JPKK Kampung Kepis Ulu, S Afendi Baharuddin. berkata dia meminta bantuan RELA dan polis meronda.

“Setakat malam tadi, kami difahamkan sudah 16 rumah mengalami kejadian sama. Jadi, bagi menenangkan penduduk kampung dan dalam masa sama bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku kami meminta kerjasama anak muda di kampung ini untuk melakukan rondaan.

“Mereka dipecahkan kepada lima kumpulan mengikut lokasi dengan setiap kumpulan terdiri daripada lima ke enam individu. RELA dan polis juga membantu meronda.

“Kami juga meminta pihak masjid dan surau untuk membuat bacaan Yasin selama tiga malam berturut-turut. Kami sendiri tidak tahu apa yang mengganggu penduduk, jadi dengan inisiatif ini sedikit sebanyak membantu meredakan kegelisahan mereka,” katanya.

Tambahnya, apa yang menghairankan, sebaik menerima maklumat gangguan menerusi kumpulan WhatsApp, peronda bergegas ke lokasi, namun selepas disiasat memang tidak menemui apa-apa bukti atau kesan kehadiran manusia.

Baca Juga:
Doktor dakwa makan ‘kubis goreng hangus’ boleh dapat risiko penyakit kanser
Meremang! Wanita terdengar suara jeritan lelaki minta tolong ketika pulang ziarah kubur ibu
Suami meninggal dunia angkara pemandu bongkak halang beri laluan pada ambulans