Seorang pencuri telah bersembunyi di dalam reban ayam apabila dikejar oleh penduduk selepas cuba melarikan sebuah motosikal, laporan daripada program berita Liputan6 kelmarin.
Kejadian tersebut berlaku di Tanah Abang, Jakarta.
Berdasarkan video yang dikongsi di platform media sosial, penduduk kelihatan sedang mencari suspek berhampiran kawasan semak-samun.
Ketua Polis Daerah Metro Tanah Abang, Asisten Komisioner Polis Aditya Simanggara Pratama, mengatakan bahawa suspek, semasa disoal siasat, mengaku bahawa dia berniat untuk mencuri.
“Suspek cuba menghidupkan motosikal menggunakan kuncinya sendiri, tetapi percubaan itu tidak berjaya.
“Kemudian, dia menolak motosikal itu, dan apabila penduduk sedar akan tindakannya, suspek meninggalkan kenderaan tersebut dan melarikan diri,” jelas Aditya.
Aditya menyatakan bahawa suspek kemudiannya ditemui bersembunyi di dalam reban ayam yang dimiliki oleh penduduk tempatan.