Pemuda ini raih RM100k sebulan dengan hanya jual air Teh Masala guna basikal di Kuala Lumpur

Photo of author

By Syima Iza

Pemuda ini raih RM100k sebulan dengan hanya jual air Teh Masala guna basikal di Kuala Lumpur.

Untuk meraih pendapatan sebanyak RM100,000, kita sering membayangkan seseorang perlu memegang jawatan tinggi dalam syarikat berprestij atau memiliki perniagaan yang besar.

Namun, realitinya, dengan hanya berniaga di jalanan sudah mampu menjana pendapatan sebanyak itu, meskipun tidak berpakaian formal atau dipandang ‘lekeh’ oleh masyarakat. Kavienan Subramaniam, seorang graduan kejuruteraan mekanikal, membuktikan bahawa dengan menjual teh masala menggunakan basikal di sekitar ibu kota, dia mampu meraih pulangan lumayan.

Pemuda ini raih RM100k sebulan dengan hanya jual air Teh Masala guna basikal di Kuala Lumpur

Kavi, begitu nama mesranya, mendedahkan bahawa niat awalnya hanyalah untuk mencari duit sampingan sementara menunggu panggilan kerja.

Menceritakan lebih lanjut kepada Majoriti, perniagaan yang diusahakan Kavi, yang dikenali dengan jenama Tea Thambi, kini memiliki dua kafe dan lima gerai di sekitar Kuala Lumpur.

Perniagaan yang berkembang pesat ini memerlukan bantuan 17 pekerja serta sebuah dapur pusat yang terletak di Segambut.

“Kalau dulu waktu mula-mula saya jual tak sampai 100 cawan sehari, sekarang kami boleh jual dalam 2,000 hingga 3,000 cawan sehari,” katanya.

Selain rasanya yang autentik, teh masala Tea Thambi ini popular kerana ditawarkan pada harga serendah RM1 hingga RM4, yang mampu dibeli oleh ramai orang.

Pemuda ini raih RM100k sebulan dengan hanya jual air Teh Masala guna basikal di Kuala Lumpur

Tahukah anda, Kavi mengambil masa setahun untuk menyempurnakan resipi teh masala popular ini? Sebelum mencapai kesempurnaan itu, dia berterima kasih kepada ibunya yang mengajarnya resipi tersebut.

Dalam masa yang sama, dia juga mendapatkan maklum balas daripada pelanggan untuk menyempurnakan rasanya.

“Semasa jual, ada juga pelanggan berkata rasanya terlebih atau terkurang. Jadi, saya jadikan ia proses percubaan. Setiap hari saya eksperimen,” kata Kavi yang merupakan anak bongsu daripada tiga adik-beradik.

Teh masala yang dijualnya diperbuat daripada daun teh berkualiti tinggi dan bahan-bahan semula jadi yang diperoleh daripada pembekal yang dipercayai.

“Teh campuran kami juga dibuat dengan bahan-bahan terapeutik, dan ini membezakan teh kami di pasaran,” kata pemuda berusia 27 tahun ini.

Selain teh masala, kafe dan gerai Tea Thambi turut menawarkan pelbagai hidangan lain seperti kopi, teh halia, roti bakar, serta kuih-muih termasuk vadai dan karipap.

Ketika ditanya tentang detik yang menyedarkannya bahawa perniagaan teh masala ini boleh berkembang lebih jauh, Kavi berkata ia berlaku ketika dia mula berjualan secara berbasikal di sekitar Kuala Lumpur.

Pemuda ini raih RM100k sebulan dengan hanya jual air Teh Masala guna basikal di Kuala Lumpur

“Semasa saya berkayuh, ramai yang minta teh. Namun, ramai malas untuk berjalan. Jadi, apabila saya yang pergi kepada mereka, mereka pasti membeli,” jelasnya.

Kavi memulakan perniagaan jualan teh masala pada Julai 2020, ketika pandemik COVID-19 melanda, dengan menggunakan basikalnya dan berjualan di sekitar Brickfields dan Masjid India. Ketika itu, modal permulaannya hanya RM500 yang digunakan untuk membeli tong minuman, stok teh, susu, cawan, dan sedikit pengubahsuaian pada basikal fixi yang digunakannya ketika belajar.

Usahanya membuahkan hasil apabila perniagaan teh masalanya berkembang secara perlahan-lahan, membolehkannya membuka gerai baharu dan mengambil pekerja hampir setahun kemudian.

Kini, perniagaan Tea Thambi dianggarkan menjana pendapatan hampir RM100,000 sebulan daripada jualan di dua kafe dan lima gerai, termasuk di Brickfields, Lebuh Ampang, serta Bukit Bintang.

Pemuda ini raih RM100k sebulan dengan hanya jual air Teh Masala guna basikal di Kuala Lumpur

Kavi juga akan berkayuh sejauh kira-kira 10 kilometer dari rumahnya di Bandar Tun Razak, Cheras, untuk berjualan di tengah-tengah ibu kota.

Selain itu, Tea Thambi juga menerima tempahan untuk menyediakan teh dan makanan di luar Lembah Klang.

Melangkah ke hadapan, Kavi menerima banyak permintaan untuk membuka francais di luar Lembah Klang. Namun, dia masih ingin mengumpul lebih banyak pengalaman dalam menguruskan perniagaannya sebelum mengambil langkah tersebut.

Baca Juga:
Ustaz Wadi kongsi 2 amalan mudah untuk dikurniakan rezeki melimpah ruah
Bapa ikat anak di khalayak ramai kerana bengang kerap ponteng sekolah
Guru wanita ‘kantoi’ dicekup suami bekhalwat dengan rakan sekerja dalam kereta