Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika mendaki di Bukit Hill Top Batu Kawan di sini, sejak Sabtu lalu ditamatkan selepas mangsa ditemui selamat petang tadi.
Mangsa, Muhammad Azfar Ismail, 29, ditemui kira-kira jam 2 petang di kawasan paya bakau di jeti berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Kawan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Chong Boo Khim, berkata mangsa ditemui oleh nelayan dalam keadaan lemah dan keletihan.
“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan hanya luka serta calar sedikit pada tangan. Petugas di lokasi memberikan rawatan awal sebelum mangsa dibawa ke Hospital Sungai Bakap untuk pemeriksaan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Chong berkata, operasi SAR digerakkan bermula Ahad lalu dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan penduduk kampung.
Terdahulu, mangsa yang keluar dari rumahnya di Taman Mutiara, di sini dilaporkan hilang ketika berjoging dan mendaki di bukit berkenaan kira-kira jam 5 petang, Sabtu lalu.
Lelaki hilang ketika daki Bukit Hill Top ditemui orang awam berhampiran jeti nelayan kira-kira jam 2.36 petang, Rabu.
Sebelum ini dilaporkan hilang ketika menjalankan aktiviti mendaki dan berjoging secara sendirian di Bukit Hill Top Batu Kawan di sini Sabtu lalu. pic.twitter.com/xpemPDNnGT
— #UpdateInfo🇲🇾🌍 (@update11111) May 22, 2024