Pemuda bawa ‘Nami’ sertai larian raih perhatian ramai.
Seorang pemuda membawa kambing peliharaan menyertai acara larian setelah mendapati haiwan kesayangannya itu begitu aktif dan kuat berlari.
Muhammad Firdauz Mohd Rasid, 38, berkata, percubaan kali pertama membawa kambing betina bernama Nami itu pada acara Unicorn Fun Run di Putrajaya pada 23 Disember lalu.
Menurutnya, pada acara tersebut, haiwan itu berjaya menamatkan larian sejauh lima kilometer, membuatkannya mengambil keputusan untuk membawa Nami sekali lagi dalam Larian Perpaduan 2023 di Bukit Jalil pada 31 Disember lalu.
“Mulanya saya cuba untuk lari dan lihat sama ada dia ingin ikut atau tidak dan kenal tuannya. Apabila melihat dia okey, saya terfikir untuk membawanya bersama dalam Unicorn Fun Run di Putrajaya pada 23 Disember lalu.
“Selain agak kena dengan tema larian tersebut, kawan-kawan juga minta untuk bawa Nami kerana ada peserta lain juga turut membawa haiwan.
“Alhamdulillah! Nami yang berusia lima bulan lebih itu dapat menghabiskan larian. Akhirnya sekali lagi membawa Nami untuk Larian Perpaduan 2023 di Meranti Park Bukit Jalil pada 31 Disember lalu,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Video Nami berbaju merah yang turut berlari bersama-sana peserta Unicorn Fun Run tular di TikTok dan rata-ratanya memuji kelincahan haiwan itu selain terhibur melihat Nami melayan orang ramai mengambil gambarnya.
@izzatiesauffiee♬ Hyehwadong(or Sangmundong) – Park Boram
Muhammad Firdauz berkata, dia tidak menyangka perkongsian video tersebut mendapat perhatian ramai.
Ini membuatkannya menanam hasrat untuk membawa Nami dan seekor lagi anak kambing jantan bernama Merry untuk menyertai acara larian lain.
“Saya tak sangka juga kehadiran Nami jadi perhatian ramai. Selepas larian dia akan berehat sebentar sebelum melayan kembali orang sekeliling untuk bergambar.
“Merry macam tak minat berlari, jadi insya-ALLAH Nami akan sertai lagi larian akan datang kerana mendapat sokongan ramai selain dilihat dia memang suka berlari namun jika ada kesempatan ingin membawa kedua-duanya sekali,” katanya.