Pempengaruh terkenal dedah video dibelasah suami, tendang bayi. Pempengaruh, Cut Intan Nabila telah memuat naik video mengejutkan di media sosial yang menunjukkan dirinya menjadi mangsa keganasan rumah tangga oleh suaminya, Armor Toreador.
Video yang dimuat naik di akaun Instagramnya @cut.intannabila pada hari Selasa itu merakam pertengkaran antara pasangan tersebut dan memaparkan Cut Intan dipukul beberapa kali walaupun dia merayu agar ia dihentikan.
Pada satu ketika, bayi mereka turut ditendang oleh suaminya semasa pertelingkahan itu berlaku.
Dilahirkan di Aceh pada 23 Mac 2001, Cut Intan berkahwin pada tahun 2019 dan merupakan ibu kepada tiga orang anak. Dalam keterangan video itu, beliau menjelaskan, “Maafkan saya jika selama ini saya mendiamkan diri dan menghasilkan kandungan yang mungkin menyinggung. Saya tidak pernah mendedahkan aib perkahwinan saya sendiri. Saya menjaga maruahnya, tetapi hari ini saya tidak dapat menanggungnya lagi.”
Video tersebut mengejutkan ramai, terutama dengan pendedahan beliau: “Saya bertahan demi anak. Ini bukan kali pertama saya mengalami keganasan rumah tangga. Saya mempunyai berpuluh-puluh video lain yang disimpan sebagai bukti.”
Cut Intan juga mendedahkan bahawa sepanjang lima tahun perkahwinan mereka, suaminya terbabit dengan ramai wanita lain, termasuk rakan-rakannya.
Walaupun beberapa kali cuba berdamai, suaminya tidak pernah berubah.
Bekas atlet lawan pedang dan personaliti media sosial yang dikenali kerana kandungan solekan, fesyen, dan kata-kata inspirasi menulis: “Ternyata benar kecurangan dan keganasan rumah tangga tidak akan pernah berubah.”
Polis Bogor di Jawa Barat bertindak pantas dengan menahan suaminya di sebuah hotel di Kemang, Jakarta Selatan, pada malam Selasa, selepas dia melarikan diri dari rumah mereka di Bogor selepas kejadian itu.
Pada pagi semalam, Armor disoal siasat dan kini disyaki terlibat dalam keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak.