Seorang pemilik restoran terperanjat besar apabila seekor gagak tiba-tiba masuk ke dalam periuk sup yang sedang dipanaskannya.
Insiden itu dipercayai berlaku semasa operasi menembak gagak Crow Sharpshooter (Op CroSS) anjuran Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) semalam.
Kejadian tersebut mengakibatkan pemilik restoran itu mengalami kerugian kira-kira RM2,000.
Rintihan pemilik restoran itu pantas menjadi tular di media sosial.
Dalam salah satu video yang dikongsikan di Instagram, dua lelaki menunjukkan seekor gagak mati yang diangkat dari sebuah periuk besar berisi sup.
Mungkin kerana kepanasan sup itu, darah dan bulu gagak tertanggal sebaik sahaja dikeluarkan dari periuk tersebut.
@twincafesup Alhamdullah tak ada rezki untuk hari tolong doakan kami dan support kami guys 😭 #rajasupno1dimalaysia #supsekoqlembu #jomtwincafe ♬ bunyi asal – Twincafesup_88
Menurut kedua-dua lelaki terbabit, mereka tidak mempunyai pilihan kecuali membuang semua isi periuk itu kerana sudah tidak boleh dimakan.
Restoran itu dikenali sebagai Twin Cafe Sup88 terletak di Jalan Taman Puteri Gunung di Simpang Empat di sini.
Sementara itu, MBSP selaku penganjur operasi itu berkata pihaknya sudah menghubungi pemilik restoran berkenaan.