Pemilik kafe tawar ganjaran RM10,000 cari budak perempuan 6 tahun hilang di pusat beli belah

Photo of author

By Syima Iza

Pemilik kafe tawar ganjaran RM10,000 cari budak perempuan 6 tahun hilang di pusat beli belah.

Pemilik sebuah kafe menawarkan ganjaran sebanyak RM10,000 kepada mana-mana individu yang berjaya mengesan seorang kanak-kanak berusia enam tahun, Albertine Leo Jia Hui, yang dilaporkan hilang di pusat beli-belah Eco Galleria, Iskandar Puteri di Johor Bahru sejak kelmarin.

Menerusi satu hantaran yang tular di media sosial hari ini, pemilik kafe berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Phang berkata, sesiapa yang berjaya menemukan kanak-kanak terbabit diminta untuk hadir ke kafe tersebut.

Pemilik kafe tawar ganjaran RM10,000 cari budak perempuan 6 tahun hilang di pusat beli belah

“Semua orang tolong kongsi, sesiapa yang dapat jumpa kanak-kanak perempuan ini (Albertine) atau memberi petunjuk kepada pihak polis, Six Cafe Borneo akan memberi ganjaran RM10,000 dan cari Mr. Phang,” tulis hantaran itu seperti yang tular di media sosial, hari ini. Tambahnya, pihak yang menjumpai kanak-kanak tersebut juga boleh menghubunginya di talian 011-36693611.

UtusanTV yang menghubungi nombor telefon pemilik kafe berkenaan mengesahkan bahawa tawaran tersebut adalah tulen.

Ditanya mengenai tawaran itu, Phang berkata ia dibuat bagi membantu keluarga mangsa supaya dapat menemui segera kanak-kanak terbabit.

Berita kehilangan kanak-kanak berkenaan tular di pelbagai platform media sosial sehingga mendapat perhatian Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan memaklumkan, kali terakhir kanak-kanak itu dilihat memakai baju-T berwarna putih dengan gambar ‘Mickey Mouse’ di bahagian dada dan berseluar pendek.

Lokasi terakhir kanak-kanak berusia enam tahun itu dikesan di Eco Galleria 3, Jalan Eco Botani 3/2, Taman Botani. “Tinggi kanak-kanak itu lebih kurang 120 sentimeter, rambut panjang berwarna hitam, kulit cerah dan tubuh sederhana kurus,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kumarasan berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Ridzuan Abd Hadi menerusi talian 017-7051097, hotline IPD Iskandar Puteri 019-2792095 atau Bilik Gerakan 07-2212999.

Baca Juga:
Telur mata tidak dimasak dengan betul boleh membawa maut
Ini 10 sebab kenapa mat motor Malaysia suka pakai jaket terbalik
Pasangan suami isteri tunggang kapcai ke Paris demi sokong team Malaysia