Pemandu wanita dihempap kontena sempat telefon ibu 4 minit sebelum meninggal.
Seorang pemandu wanita yang keretanya dihempap kontena selepas terjatuh dari sebuah treler dalam kejadian pada pagi Rabu, sempat membuat panggilan kepada ibunya sebelum meninggal dunia.
Perkara itu dikongsikan oleh ibu mangsa yang hanya dikenali sebagai Lim, ketika ditemubual oleh China Press.
Memetik laporan akhbar tersebut, Lim, 42, berkata dia mendengar suara anak perempuannya, Lee Zi Rou, 21, yang mengerang kesakitan.
“Mummy! Sakit sangat!” kata Lim, mengimbas kembali ungkapan terakhir anaknya.
Lim berkata, dia kemudian terus bertanya kepada Zi Rou mengenai keberadaannya, tetapi pertanyaan itu tidak dijawab.
“Saya dapat rasakan dia telah meninggal dunia,” kata Lim.
Dalam kejadian pada pukul 9.15 pagi Rabu, Zi Rou yang memandu kereta seorang diri ke tempat kerjanya, terkorban selepas kontena yang dibawa oleh sebuah lori treler terjatuh dan menghempap kenderaannya.
Difahamkan, mangsa ketika itu sedang menunggu di lampu isyarat di Jalan Kebun Sireh-Jalan Bukit Tengah apabila lori treler yang datang dari arah bertentangan membelok tajam ke kiri dan terjatuh ke jalan.
Kereta mangsa remuk teruk akibat dihempap kontena dan dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Beberapa kenderaan lain turut mengalami kerosakan, dengan seorang lagi pemandu cedera dan dibawa ke hospital.
Mangsa yang cedera dikenali sebagai Tan Chou Theng, 25, diselamatkan oleh orang awam sebelum pasukan penyelamat tiba di tempat kejadian.
Berkongsi lebih lanjut, Lim berkata dia sering berpesan kepada anak-anaknya supaya sentiasa menghantar mesej jika mereka mahu memaklumkan perkara yang tidak penting.
“Jika mereka telefon, bermakna ada kecemasan. Jadi apabila Zi Rou telefon, saya berasa takut,” katanya sebak.
Lim berkata, sejurus menerima panggilan tersebut, dia segera memberitahu anak perempuannya yang lain untuk segera membawanya melalui laluan yang biasa dilalui Zi Rou ke tempat kerja.
Dalam pada itu, Lim berkata percubaannya untuk menghubungi Zi Rou gagal kerana telefon tersebut tidak dijawab.
Bagaimanapun, katanya, seorang lelaki akhirnya mengangkat telefon dan memberitahunya bahawa Zi Rou terlibat dalam kemalangan serta berkongsi lokasi kejadian.
Sebaik tiba di lokasi, Lim merayu-rayu memohon bantuan orang ramai untuk menyelamatkan anak perempuannya.
“Tetapi ia agak mustahil. Kontena itu terlalu berat.
“Anak saya menelefon pada pukul 9.24 pagi dan dia meninggal dunia pada pukul 9.30 pagi,” katanya, sambil menahan sebak.
Susulan kemalangan maut itu, pemandu treler berkenaan direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Perintah reman terhadap lelaki tempatan berusia 51 tahun itu yang bermula pada Khamis hingga Ahad, dikeluarkan oleh Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam.
mesti driver lupa lock kontena pastu layan corner.
Yang tak bersalah jadi mangsa meninggal dunia baru umur 21 tahun. Patutnya kontena ni jatuh atas kereta menteri , baru semua ada akal. pic.twitter.com/VfUcSjAAJb— MALAYSIA MOST VIRAL (@MALAYSIAVIRALLL) November 13, 2024
Ketua Polis Daerah Seberang Prai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris, sebelum ini berkata, pemandu tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu, yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, denda sehingga RM50,000, dan hilang kelayakan lesen memandu antara 10 hingga 20 tahun.