Pemandu Vellfire Malaysia simbah air dekat Subaru pemandu Singapura raih perhatian ramai.
Tular satu klip rakaman dashcam yang menunjukkan insiden antara sebuah Toyota Vellfire dari Malaysia dan Subaru Forester dari Singapura yang berebut untuk masuk ke lorong.
Menerusi rakaman video yang dikongsikan oleh akaun TikTok @singaporeroadaccident, kedua-dua kenderaan tersekat dalam kesesakan lalu lintas. Subaru berada di lorong kanan manakala Vellfire berada di lorong kiri.
MPV Vellfire tersebut cuba menukar lorong, namun SUV dari Singapura itu tidak memberikannya laluan, dipercayai kerana pemandu Vellfire tidak memberikan isyarat.
Tindakan agresif pemandu Malaysia itu dilihat apabila dia menghimpit Subaru berkenaan. Walau bagaimanapun, pemandu Singapura tersebut tetap berkeras untuk tidak memberikan laluan.
@singaporeroadaccident How to drive from Malaysia to Singapore #singapore #malaysia #boleh ♬ original sound – Singapore Road Accident
Seterusnya, pemandu MPV terbabit membuka tingkap dan menyimbah air mineral ke arah kereta SUV tersebut. Namun, pemandu kereta Singapura itu terus meneruskan perjalanan tanpa memperdulikan Vellfire yang tersangkut di lorong kiri.
Melihat ke ruangan komen, ramai yang mengecam tindakan pemandu Vellfire, yang didakwa melakukan pelbagai kesalahan dalam insiden tersebut. Ini termasuk cubaan masuk ke lorong tanpa memberi isyarat, menghimpit kereta lain, dan menyimbah air ke arah Subaru.
Dalam masa yang sama, terdapat juga warganet yang mengkritik pemandu Singapura kerana tidak mahu bertolak ansur atau ‘bertimbang rasa’ untuk memberikan laluan kepada Vellfire.