Pemandu ‘prime mover’ maut tersepit dalam kabin pemandu setelah dihempap kontena

Photo of author

By Syima Iza

Pemandu ‘prime mover’ maut tersepit dalam kabin pemandu setelah dihempap kontena. Seorang pemandu lori ‘prime mover’ maut akibat tersepit di dalam kabin pemandu selepas kenderaan yang dipandunya dihempap sebuah kontena dalam kejadian di Pelabuhan Pulau Pinang pagi Jumaat.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang dalam kenyataan memaklumkan pekerja lelaki warga tempatan berusia 41 tahun itu maut di tempat kejadian dalam kemalangan yang berlaku pada jam 10.13 pagi itu.

Sepasukan pegawai penyiasat JKPP Pulau Pinang telah diarahkan ke lokasi kejadian dan menjalankan siasatan sebaik sahaja menerima maklumat mengenai insiden tersebut.

Pemandu 'prime mover' maut tersepit dalam kabin pemandu setelah dihempap kontena

“Daripada siasatan awal yang dijalankan, mangsa adalah pemandu ‘prime mover’ salah sebuah syarikat pembekal jentera ‘prime mover’ di terminal kontena tersebut.

“Ketika kejadian, mangsa dikatakan telah membuat pusingan-U ketika dalam perjalanan menghantar kontena ke kapal.

“Kepala mangsa didapati tersepit di dalam kabin pemandu ‘prime mover’ dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” kata kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, JKKP Pulau Pinang telah mengeluarkan satu notis larangan bagi aktiviti kerja pengendalian jentera ‘prime mover’ dan siasatan lanjut akan dijalankan oleh Pegawai Penyiasat JKKP Pulau Pinang.

Pihak JKKP akan mengambil tindakan perundangan sekiranya terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 ke atas pihak yang bertanggungjawab.

JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam.

“Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja dan bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja,” katanya.

Tambahnya, kejadian seumpama itu boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).

Baca Lagi:
PU Syed terima ugutan bunuh kerana bantah konsert Blackpink
‘Ingatkan J.Lo’ – Netizen komen wajah Ziana Zain persis Jennifer Lopez setelah lihat gambar percutian di Belanda
Pemuda ini hanya tanam sayur jana RM400,000 sebulan