
Pemandu, penumpang lari tinggal kereta selepas langgar mati pelajar tingkatan dua
Pemandu, penumpang lari tinggal kereta selepas langgar mati pelajar tingkatan dua. Seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua maut, manakala rakannya parah selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh kereta dalam kejadian dekat Jalan Klebang di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 2 pagi itu, remaja terbabit Muhammad Afiq Danish Abd Aziz, 14, maut di lokasi kejadian, manakala penunggang motosikal, Tan Kok Som, 41, kini dirawat di Zon Merah, Hospital Melaka (HM).
Difahamkan, ketika kejadian mangsa bersama Kok Som yang juga sahabat kepada sepupunya dalam perjalanan ke stesen minyak berhampiran lokasi kejadian, untuk membeli minuman selepas selesai memasang khemah.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata kemalangan itu membabitkan sebuah motosikal Honda AFS125 dan kereta Proton Waja.
Beliau berkata, sebelum kejadian motosikal dinaiki mangsa dan kereta terbabit dalam perjalanan dari arah sama iaitu dari Bandar Melaka menghala ke Klebang.
“Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal dinaiki mangsa yang dalam perjalanan untuk membeli minuman di stesen minyak berdekatan tiba-tiba dilanggar dari arah belakang.
“Akibat daripada rempuhan itu, mangsa disahkan maut di lokasi kejadian manakala penunggang motosikal yang cedera parah kemudian dikejarkan ke HM untuk dirawat,” katanya.
Christopher berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati pemandu dan penumpang kereta meninggalkan lokasi kejadian, membiarkan kenderaan dinaiki di situ.
“Bagaimanapun, tengah hari tadi pemandu yang disyaki terbabit sudah tampil membuat laporan polis,” katanya.
Mengulas lanjut, Christopher berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Mayat mangsa sudah dihantar ke jabatan forensik hospital sama untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.
“Siasatan masih diteruskan dan kita meminta orang awam yang melihat kejadian atau mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan,” katanya.