Pemandu e-hailing tertinggal penumpang tanpa sengaja buat ramai tergelak.
Insiden lucu melibatkan pemandu e-hailing yang tertinggal seorang penumpang tanpa sengaja telah menarik perhatian netizen.
Menerusi video yang dimuat naik di TikTok oleh Vitagen, kejadian bermula apabila seorang penumpang lelaki meletakkan barangnya dalam kereta dan menutup pintu belakang. Namun, tanpa menyedari bahawa penumpang tersebut belum sempat masuk ke dalam kereta, pemandu e-hailing terus memandu tanpa memeriksa keadaan di belakang.
Kejadian itu hanya disedari apabila pemandu e-hailing bertanya mengenai destinasi tujuan, barulah dia tersedar bahawa penumpang tersebut masih berada di luar kereta.
Di ruangan komen, ramai netizen memberikan reaksi lucu dan berkongsi pengalaman serupa yang turut menghiburkan mereka.
“Nasib abang toleh belakang. Kalau tak toleh belakang, abang dengan barang penumpang je sampai Teratai,” seloroh Fath Ishak.
“Laju abang gerak. Bunyi je pintu tertutup terus gerak dalam kiraan saat. Sama macam suami saya, kalau dia dengan anak-anak sampai boleh bergaduh. Takut tertinggal anak kat luar,” kata Tia.
“Roh dah masuk dulu, jasad pulak tertinggal,” ujar Angah Pontian.