Pemandu e-hailing burukkan Malaysia, hina agama Islam depan pelancong dikecam

Pemandu e-hailing burukkan Malaysia, hina agama Islam depan pelancong dikecam

Syarikat e-hailing digesa mengambil tindakan tegas termasuk memberhentikan pemandu yang mengeluarkan kenyataan menghina Islam kepada pelancong asing, yang videonya tular di media sosial hari ini.

Dalam video dipercayai dirakam pelancong, pemandu berkenaan didakwa mengeluarkan kenyataan menghina Islam ketika berbual dengan pelancong asing yang menggunakan perkhidmatannya.

Difahamkan dia mempertikai Islam sebagai agama rasmi dan mendakwa kebebasan tersekat termasuk larangan berjudi dan minum arak.

Pemandu e-hailing burukkan Malaysia, hina agama Islam depan pelancong dikecam

Ketua Aktivis Gabungan E-Hailing Malaysia, Jose Rizal berkata, beliau kecewa dan terkejut sebaik dimaklumkan mengenai video berkenaan.

“Apa yang diperkatakan oleh pemandu itu (berkaitan agama Islam) kepada pelancong asing adalah salah dan ia memperlihatkan pemikirannya yang sempit.

“Justeru itu, kita menggesa supaya tindakan tegas diambil oleh pihak syarikat e-hailing dengan memberhentikan khidmat lelaki terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jose Rizal berkata, syarikat pengendali juga perlu mempertingkatkan amaran serta memberikan peringatan kepada pemandu mereka supaya tidak mengulangi kesilapan seumpama itu.

“Pemandu-pemandu e-hailing ini umpama duta kecil negara kita dan apabila perkara sebegini berlaku, ia bukan sahaja menjejaskan syarikat terbabit tetapi juga negara (rosakkan keharmonian).

“Disebabkan itu, kita mahu supaya syarikat e-hailing bertanggungjawab menyediakan garis panduan yang sentiasa diingatkan kepada pemandu bagi mengelak perkara ini berulang,” katanya.

Bagi Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia Mohd Nor Izzat Mohd Johari, perbuatan pemandu terbabit menghina agama serta umat Islam kepada pelancong asing adalah perkara memalukan negara.

Katanya, sebagai negara yang berperlembagaan, tidak ada mana-mana individu bukan Islam dilarang untuk minum arak mahupun berjudi di negara ini.

“Ini adalah penghinaan yang amat serius dan kita mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dengan segera terhadap individu terbabit.

“Termasuklah tindakan oleh pihak polis dengan menahan individu berkenaan serta perkhidmatannya dalam syarikat e-hailing diberhentikan serta merta,” katanya.

Sementara itu, semakan dilakukan pihak polis mendapati belum ada laporan diterima berhubung kejadian terbabit setakat ini.

Baca Juga:
Kereta dilarikan di stesen minyak Kuantan, wanita kejar perompak sampai ke jalan raya
“Kalau mereka berbaik, saya orang nombor satu mengamuk dekat kakak saya” – Didi Astillah
Kedai makan hidang makanan pelanggan atas barang-barang kegunaan harian jadi tumpuan
CATEGORIES