Pemain bola sepak Palestin, Ahmad Abu al-Atta dan keluarganya terbunuh di rumah mereka akibat serangan udara Israel di Gaza, kata Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA).
Abu al-Atta, 34, yang bermain sebagai pemain pertahanan untuk pasukan Al-Ahly Gaza, meninggal dunia bersama isterinya, Ruba Esmael Abu al-Atta, seorang profesional perubatan, dan dua anak mereka selepas serangan udara di rumah mereka di Gaza City, kata PFA dalam satu kenyataan.
Media tempatan melaporkan bahawa serangan udara itu berlaku pada hari Jumaat, tetapi PFA tidak memberikan tarikh.
Isnin lalu, PFA berkata pengadil antarabangsa Hani Mesmeh meninggal dunia selepas mengalami kecederaan akibat serangan udara Israel di Semenanjung Gaza pada Mei.
Lebih 300 atlet, pengadil dan pegawai sukan terbunuh sejak bermulanya konflik di Gaza pada Oktober 2023 dengan semua kemudahan sukan di Gaza dirobohkan, kata Presiden Jawatankuasa Olimpik Palestin, Jibril Rajoub, bulan ini.
Mereka juga termasuk pemain bola sepak, Mohammed Barakat, yang terbunuh dalam serangan udara Israel di Khan Younis pada Mac, dan Penolong Pengadil Antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Mohammed Khattab, yang terbunuh bersama isteri dan empat anaknya dalam serangan Israel di kejiranan Gaza di Deir Al Balah pada Februari.
Sekurang-kurangnya 37,598 rakyat Palestin terbunuh dan 86,032 lagi cedera dalam serangan tentera Israel di Gaza sejak 7 Oktober, kata kementerian kesihatan Gaza.