Pelanggan setia Bank Muamalat jadi jutawan segera menang RM1 juta. Rezeki tidak pernah salah alamat.
Pesara tentera laut kelahiran Terengganu, Sajihan M.C Mohamed, 63, telah diumumkan sebagai jutawan ketiga Sijil Simpanan Islamik (SSi) Bank Muamalat.
Sajihan menerima hadiah itu pada Majlis Penyampaian Hadiah SSi Edisi Gemilang 25 Tahun yang diadakan di Karnival Jom Heboh, Terengganu, pada Khamis, 1 Ogos lalu.
Pelanggan bertuah dari cawangan Seri Manjung, Perak itu menerima wang tunai sebanyak RM1 juta menerusi cabutan SSi Jutawan Hebat, yang merupakan sebahagian daripada hadiah keseluruhan bernilai lebih RM5 juta bagi kempen SSi Edisi Gemilang 25 Tahun.
Menurut Sajihan, dia sama sekali tidak menyangka bahawa rezeki akan berpihak kepadanya, sekali gus menjadi pemenang utama kempen SSi yang baru sahaja diperkenalkan dua tahun lalu.
Lebih menggembirakan, katanya, dia juga ada mencuba untuk menabung di tempat lain, namun keputusannya untuk menyertai kempen Bank Muamalat ternyata tepat dan membuahkan rezeki yang tidak disangka-sangka buat dirinya.
“Selama ini, saya menunjukkan komitmen tinggi untuk terus menyimpan dengan Bank Muamalat. Ia adalah perancangan kewangan jangka panjang yang saya tetapkan untuk diri dan keluarga.
“Apabila terpilih sebagai pemenang Jutawan SSi 2024, perasaan saya tidak dapat digambarkan. Ia satu kejutan yang amat besar dan menggembirakan saya serta keluarga,” ujarnya yang telah menjadi pelanggan Bank Muamalat selama 22 tahun.
Sajihan merupakan pemenang bertuah SSi Jutawan Hebat melalui kempen yang berlangsung dari 1 Mac hingga 31 Disember 2024.
Selain disiplin diri dalam penyimpanan wang, Sajihan berkata dia sentiasa mengambil bahagian dalam kempen dan promosi yang dianjurkan oleh Bank Muamalat, di samping menguruskan kewangan dengan bijak.
“Disiplin dalam menyimpan dan bijak dalam menguruskan kewangan juga penting untuk mencapai matlamat kewangan jangka panjang,” katanya.
Mengenai wang kemenangannya itu, Sajihan berhasrat untuk memanfaatkannya bagi meningkatkan kualiti hidup keluarganya serta memberi sumbangan kepada badan amal kebajikan.
Dalam pada itu, bapa kepada lima anak ini turut memberi saranan kepada orang ramai agar tidak melepaskan peluang menyimpan bersama Bank Muamalat kerana terdapat pelbagai tawaran menarik yang tersedia untuk para pelanggan.
Sehubungan itu, dia menyarankan para penyimpan dan orang ramai yang ingin berpeluang menjadi jutawan SSi sepertinya supaya memulakan tabungan mereka seawal mungkin dan melakukannya secara konsisten.
“Pilih produk simpanan yang menawarkan manfaat dan peluang tambahan, seperti SSi di Bank Muamalat. Sentiasa peka dengan promosi dan kempen yang dianjurkan,” ujarnya.
Sajihan juga terharu kerana pegawai-pegawai di Bank Muamalat sentiasa melayaninya dengan baik dan memudahkan urusannya setiap kali berurusan di bank.
“Setiap kali saya datang ke Bank Muamalat di cawangan Seri Manjung, saya tidak perlu menunggu lama kerana ada pegawai yang akan segera membantu saya,” ceritanya lagi.
Sementara itu, Ketua Jabatan Deposit Bank Muamalat, Wan Hosni Wan Kamal berkata, jumlah keseluruhan penyimpan SSi dari 1 Mac hingga 2 Ogos 2024 mencatatkan sebanyak 33,276 penyimpan dengan jumlah RM149,440,163.
“SSi telah mencipta gelombang dalam industri perbankan dengan sambutan yang memberangsangkan. Antara sorotan utama yang menggambarkan kejayaan ini adalah pelbagai kategori hadiah yang menarik.
“Pelanggan disajikan dengan pelbagai kategori hadiah eksklusif, termasuk hadiah utama bernilai RM1 juta. Kini, Bank Muamalat sedang mencari Jutawan SSi 2024 seterusnya yang bakal diumumkan pada Januari 2025.
“Jumlah hadiah keseluruhan bagi SSi melebihi RM5 juta dengan 14 kategori hadiah, di mana cabutan dilakukan setiap bulan,” katanya.
Bagi kempen SSi 2024, Wan Hosni memberitahu bahawa seramai 980 pemenang bertuah dari Mac hingga Jun telah memenangi pelbagai hadiah lumayan, dan kini berbaki lagi 1,501 pemenang yang bakal diketahui.
Beliau juga menyatakan bahawa perkembangan SSi dapat dilihat menerusi aktiviti promosi seperti Jelajah Jutawan SSi, di mana setiap program yang dijalankan meningkatkan kesedaran terhadap kempen SSi. Antara program yang memberi impak kepada peningkatan SSi adalah melalui program Euro 2024 ‘Top Striker’ Roadshow di Mydin Hypermarket (bagi beberapa negeri dan kawasan terpilih), Karnival Celik Kewangan, Saturday Open Day di enam negeri setiap bulan, Program Madani, dan banyak lagi.
Menurut Wan Hosni, program tersebut bukan sahaja menawarkan hadiah lumayan, tetapi yang paling penting ia juga berkonsepkan Syariah dalam memastikan setiap transaksi dan cabutan yang dilakukan adalah telus dan adil.
“Menyertai SSi adalah mudah dan tidak memerlukan prosedur yang rumit. Pelanggan sedia ada yang mempunyai Akaun Simpanan-i, Akaun Semasa-i, dan SURIA secara langsung layak untuk kempen SSi 2024.
“Usahawan-usahawan kecil juga layak untuk menyertai SSi 2024 melalui kategori SSi Saver Gempak yang memberikan hadiah khusus untuk pelanggan perniagaan kecil,” katanya sambil menambah bahawa SSi turut membantu meningkatkan budaya menabung dalam kalangan individu.
Selain itu, Wan Hosni juga menasihati orang ramai agar terus berdisiplin dalam menyimpan secara konsisten demi masa depan yang lebih terjamin.
“Amalkan disiplin menyimpan secara konsisten, walaupun dalam jumlah yang kecil. Konsistensi dalam menyimpan akan membantu mencapai matlamat kewangan, terutamanya bagi generasi yang bakal melanjutkan pelajaran, bakal pesara, dan sebagainya. Gunakan peluang ini untuk merancang simpanan anda, sama ada untuk pendidikan, perniagaan, atau persaraan.
“Manfaatkan media sosial untuk mendapatkan notifikasi terkini dan perkembangan mengenai SSi di laman rasmi media sosial Bank Muamalat. Menyimpan melalui SSi adalah langkah yang bijak dalam perancangan kewangan.
“Diharapkan masyarakat akan lebih sedar tentang pentingnya budaya menabung dan merancang kewangan. Dengan adanya produk seperti SSi, masyarakat dapat merealisasikan tabungan mereka untuk masa depan.
“Menyimpan melalui SSi bukan sahaja memberi manfaat kepada individu tetapi juga membantu mengukuhkan ekonomi keluarga dan komuniti. Simpanan yang baik akan memberikan sokongan kewangan dalam situasi kecemasan dan masa depan yang lebih stabil,” katanya lagi.
Terdahulu, majlis Penyampaian Hadiah SSi Edisi Gemilang 25 Tahun di Karnival Jom Heboh turut dihadiri oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin.
Turut diumumkan dalam majlis penyampaian hadiah itu adalah pemenang bagi SSi Pacuan Bergaya, Masniah Hashim dari cawangan Ipoh yang membawa pulang sebuah kereta Honda Civic 1.5L, pemenang SSi Saver Berganda yang membawa pulang wang tunai RM50,000, Abdul Latif Yahya dari cawangan Souq Al-Bukhari, dan pemenang SSi Ekstra Wilayah bagi kategori Pantai Timur, Azmah Mat Jusoh dari cawangan Kg Raja yang membawa pulang wang tunai RM30,000.
Selain itu, turut diumumkan adalah pemenang SSi Saver Gempak yang membawa pulang wang tunai RM2,000, Mohd Latib Ngah, dan pemenang SSi Kilauan Emas Premium, Samsiah Draman yang memenangi baucar barang Habib bernilai RM7,000 dari cawangan Kuala Terengganu.
Kini, berbaki lagi 1,501 pemenang SSi Edisi Gemilang 25 Tahun yang bakal diumumkan dari Ogos hingga 31 Disember 2024, termasuklah jutawan SSi yang terakhir.