Setiap kepercayaan mempunyai pantang larang yang perlu diikuti oleh penganutnya. Jika penganut beragama Islam tidak dibenarkan memakan khinzir, begitu juga penganut Hindu yang tidak dibenarkan memakan daging lembu.
Oleh itu, setiap individu di Malaysia yang hidup berbilang kaum dan agama perlu mengambil cakna bagi menjaga keharmonian sejagat.
Baru-baru ini, tular sebuah video di TikTok yang dikongsikan oleh pengguna @teivakulantey4. Dalam video tersebut, seorang pelanggan berbangsa India kelihatan kecewa selepas menerima burger daging secara percuma dari pekerja sebuah restoran makanan segera.
Pemberian itu dianggap tidak sensitif memandangkan pelanggan tersebut berbangsa India yang mana secara dasarnya tidak memakan daging lembu.
“Beef burger, macam mana awak boleh bagi saya? Saya orang India,” kata pelanggan itu kepada pekerja berkenaan.
Kemudian, kedengaran pekerja restoran tersebut secara sopan memohon maaf atas insiden yang berlaku. Dia menjelaskan bahawa pemberian burger secara percuma itu adalah mengikut prosedur yang ditetapkan oleh syarikat.
Namun, penjelasan dan permohonan maaf pekerja itu tidak diterima oleh pelanggan berkenaan. Pelanggan tersebut mendakwa telah memakan menu percuma itu yang mana sudah melanggar perintah agamanya secara tidak langsung.
“Jadi macam mana cara kamu nak selesaikan perkara ini? Sebab kalau tak makan lain cerita, ini dah makan.
“Takkan sana tak tahu saya pesan enam burger ayam, macam mana dia boleh tersilap bagi burger lembu?
“Kalau saya beli burger daging, dia boleh la bagi burger daging,” kata pelanggan terbabit.
@teivakulantey4 Kasi Share Dan Repost Sampai Dapat Keadilan Untuk Semua Kaum India @JEEVA @mathanedward @viral_vairamuthu @jdt04suren @jdtsuren0418 @bobgally4 @parlimentambunofficial @Akka Nasi Lemak Seri Kembangan @ɑׁׅ℘℘ᥣׁׅ֪ꫀׁׅܻ ⚡️♠️ @CR-VEERA @yametehgirl @Deena Dinish Vivekananda @vanakammalaysia ♬ original sound – 🧞♂️Teivakulantey🔱
Selain itu, pelanggan tersebut turut mempertikaikan tindakan pekerja yang tidak mengetahui dia berbangsa India dan tidak memaklumkan kepadanya berhubung pemberian burger secara percuma itu.
Namun, pekerja wanita yang dipercayai pengurus restoran tersebut terus memohon maaf atas kesilapan yang berlaku.
Difahamkan pelanggan itu membuat pembelian secara drive-thru di restoran yang terletak di Tambun, Ipoh.
Video yang berjaya meraih lebih 700,000 tontonan tersebut lantas menerima pelbagai reaksi daripada netizen di platform TikTok. Rata-rata netizen bagaimanapun menyalahkan pelanggan itu sendiri kerana tidak peka dengan label “beef” yang sudah tertera pada bahagian pembungkus.
Namun, ada yang berpihak kepada pelanggan berkenaan dan menganggap ia sebagai kesalahan pekerja yang tidak peka dengan agama seseorang pelanggan dan tidak memaklumkan kepada pelanggan berkaitan pemberian burger secara percuma itu.
Manakala, sebahagian lain pula berpendapat pekerja itu mungkin tidak mengetahui latar belakang seseorang pelanggan dan meminta pelanggan terbabit untuk memaafkan pekerja itu atas kesilapan yang dilakukan.
Dalam pada itu, ada netizen yang menghakimi perkara itu dengan mengatakan jika pembelian secara bersemuka maka ia adalah kesilapan pekerja, sementara jika membuat pembelian secara dalam talian pula bukan di bawah tanggungjawab pekerja.