Pelancong Malaysia kibar jalur gemilang di monumen Taj Mahal kena tegur, dibenarkan keluar selepas mohon maaf.
Gara-gara mengibarkan Jalur Gemilang di monumen Taj Mahal di Agra, India, sekumpulan pelancong dari Malaysia ditegur.
Memetik laporan Hindustan Times, 6 rakyat Malaysia, yang ditemani pemandu pelancong tempatan, bergambar di hadapan monumen itu dengan memegang Jalur Gemilang.
Namun tindakan mereka itu dikatakan bertentangan dengan larangan aktiviti promosi, komersial dan melobi di Taj Mahal.
Pembantu pemuliharaan kanan Kajian Arkeologi India, Prince Vajpayee berkata, tular sebuah video di mana kumpulan wanita berkenaan dilihat memegang bendera negara mereka di laluan berhampiran tangki pusat.
“Apabila disoal siasat, mereka berkata mereka tidak tahu mengenai sekatan ke atas tindakan melobi atau aktiviti promosi di Taj Mahal.
“Mereka mengemukakan permohonan maaf secara bertulis dan dibenarkan keluar. Warga India yang menemani mereka juga memaklumkan tidak mengetahui tentang norma di Taj,” katanya.
Jelas laporan itu, kejadian sebegitu jarang berlaku.
Monumen cinta agung terkenal dunia itu diiktiraf sebagai tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Gara-gara mengibarkan Jalur Gemilang di monumen Taj Mahal di Agra, India, sekumpulan pelancong dari Malaysia ditegur. pic.twitter.com/vKitzJ9OqE
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) February 17, 2024
Baca Juga: