Pelancong China beri 5 sebab kenapa menyesal datang bercuti di Kuala Lumpur.
Selain dikenali sebagai syurga makanan bagi pelancong, Kuala Lumpur telah meraih pelbagai anugerah dan pengiktirafan berprestij dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Antaranya, KL diiktiraf sebagai bandar ke-8 terbaik dunia untuk ekspatriat dan bandar paling mesra di Asia.
Namun, pencapaian ini seolah-olah tidak dirasai oleh seorang pelancong dari China yang baru-baru ini berkongsi pengalaman negatifnya di Kuala Lumpur.
Pelancong China Dakwa Menyesal Bercuti Di Kuala Lumpur
Menerusi hantaran di platform XiaoHongShu (XHS), pelancong tersebut meluahkan rasa kecewa dan menyesal datang bercuti ke Kuala Lumpur. Dia mendakwa bandar ini kotor, kucar-kacir, dan menasihati orang lain agar tidak melancong ke Malaysia.
Antara sebab kekecewaannya adalah:
1. Layanan yang Biadap
Pelancong ini mendakwa layanan yang diterima di lapangan terbang kurang mesra, malah seolah-olah diskriminasi. Selain itu, dia juga menganggap masyarakat tempatan bersikap kurang ajar.
2. Kekurangan Tempat Menarik
Menurutnya, Kuala Lumpur tidak menawarkan banyak lokasi menarik untuk bergambar selain Menara Berkembar Petronas.
3. Pengangkutan Tidak Mesra Pelancong
Dia menyifatkan sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur menyusahkan kerana kurang ruang untuk pejalan kaki. Hal ini memaksanya bergantung kepada teksi.
4. Perkhidmatan Hotel yang Mengecewakan
Pelancong itu juga mendakwa hotel empat dan lima bintang di Kuala Lumpur memberikan layanan kurang memuaskan. Dia menyebut pengalaman di mana pihak hotel enggan memulangkan wang deposit hanya kerana mendaftar keluar lewat 10 minit.
5. Pembungkusan Makanan Tidak Berkualiti
Ketika membeli makanan bungkus, dia mendapati harganya terlalu mahal, melebihi RM150, walaupun kuantiti makanan dianggap memadai. Lebih mengecewakan, sudu dan garfu tidak disediakan walaupun diminta.
Menghasut Orang Lain Supaya Tidak Datang ke KL
Pelancong itu juga mendakwa merasa tertipu oleh dakwaan bahawa barangan di Kuala Lumpur lebih murah.
“Sejujurnya, harga di KL sama seperti di bandar kelas pertama di China. Jangan percaya apa yang anda baca di Internet. Tak seronok langsung di sini, hanya membazir duit,” tulisnya.
Orang Ramai Tidak Bersetuju dengan Dakwaannya
Hantaran tersebut mencetuskan pelbagai reaksi. Ramai yang tidak bersetuju dengan pendapat pelancong itu dan menyifatkan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan yang menarik dan lebih murah berbanding di China.
Meskipun ada kekurangan, rata-rata pelancong lain masih menganggap Kuala Lumpur menawarkan pengalaman unik dan menyeronokkan.