
‘Pelan Data Perpaduan’ Prabayar Internet Mudah Alih separuh harga, laju tiga kali ganda pada Februari 2023
‘Pelan Data Perpaduan’ Prabayar Internet Mudah Alih separuh harga, laju tiga kali ganda pada Februari 2023. Langkah kerajaan untuk memperkenalkan Pelan Data Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih mendapat sambutan baik dan pujian daripada orang ramai disebabkan harganya yang murah.
Pengurus jualan Chai Yook Weng, 61, berkata pelan itu akan banyak membantunya mengurangkan perbelanjaan bulanan kerana sekarang beliau melanggan perkhidmatan Internet prabayar yang memerlukan isian semula RM30 sebulan untuk membolehkan beliau membeli data tambahan.
“Saya menanti-nanti untuk membeli pakej ini apabila dikeluarkan di pasaran pada Februari tahun depan. Saya tidak (lagi) perlu membayar RM30 setiap bulan hanya untuk memastikan akses data saya aktif,” katanya.
Turut berkongsi sentimen sama, mekanik Aaron Arvin, 27, yang menghargai lonjakan kelajuan Internet pelan data itu daripada satu megabit sesaat (Mbps) kepada tiga Mbps.
“Untuk tawaran pada harga RM30 dengan data sebanyak 30 gigabit (GB) selama enam bulan, tiga Mbps adalah di atas purata kelajuan internet untuk pelan data yang sama.
“Ini sesuatu yang positif kepada mereka yang tidak mampu mendapatkan pakej dengan harga yang tinggi,” katanya.
Pengguna Twitter @DolRizal berpendapat, pelan tersebut adalah satu langkah baik kementerian untuk menjaga kebajikan golongan B40.
“Itulah yang sepatutnya! Lihat kepada keperluan B40 dahulu. Mereka mungkin golongan yang paling menderita apabila tiba waktu kemelesetan ekonomi nanti,” katanya dalam ciapan di Twitter.
Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, kerajaan akan memperkenalkan Pelan Data Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih pada separuh harga dan tiga kali ganda kelajuan, dijangka berada di pasaran Februari tahun depan.
Fahmi berkata, pelaksanaan pelan data itu akan melibatkan lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi, iatu CelcomDigi, Maxis, UMobile, Telekom Malaysia (TM) dan YTL Communications.
Katanya, pelan ini disasarkan kepada golongan belia berusia hingga 30 tahun, B40, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan veteran pasukan beruniform.