Pelakon terkenal Korea Selatan ditemui mati, sempat tinggal sepucuk surat.
Bintang drama popular The Moon Embracing The Sun, Song Jae-rim dilaporkan meninggal dunia pada hari ini.
Menurut laporan media Korea Selatan, Jae-rim, 39, ditemui dalam keadaan tidak bernyawa sekitar tengah hari tadi.
Walaupun punca kematiannya belum disahkan, seorang wakil polis memaklumkan bahawa tiada sebarang jenayah yang berlaku.
Dalam masa yang sama, pihak polis turut menemui sekeping surat di sebelah mayat yang menunjukkan kemungkinan itu adalah nota bunuh diri.
Difahamkan, majlis pengebumian anak kelahiran Korea Selatan itu akan diadakan di rumah pengebumian Yeouido Holy Dare, di mana keluarganya akan bertanggungjawab atas urusan pengebumian tersebut.
Sebelum aktif dalam bidang lakonan, Jae-rim merupakan seorang model fesyen dan membuat debut dalam filem Actresses pada tahun 2009.
Kemudian, aktor ini lebih banyak terlibat dalam drama dan filem seperti Inspiring Generation, Two Weeks, Goodbye Mr. Black, Surfing House, I Wanna Your Song, Queen Woo, The Suspect, dan Decoy.
Dia juga terkenal dengan penampilannya dalam program We Got Married bersama pelakon Kim So-eun pada tahun 2014.
Drama terakhirnya yang menemui penonton adalah My Military Valentine, yang disiarkan di platform Over-The-Top (OTT) pada bulan Jun lalu.