Pelakon veteran, Kamaruldzaman Bakar, 62, meninggal dunia di Hospital Melaka pada jam 1.10 pagi Selasa.
Berita itu disahkan oleh anak bongsunya, Haiqal, menerusi mesej WhatsApp setelah bapanya dirawat di unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan akibat kanser paru-paru tahap empat.
“Dimaklumkan ayah saya, Kamal Bakar, telah meninggal dunia… minta jasa baik semua untuk doakan ayah saya,” katanya ringkas.
Allahyarham, yang juga kakitangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka, dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Baru selepas solat Zuhur.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Sarinah Shariff, dan lima anak termasuk pelakon, Muhammad Hanis, 35.
Sinar Harian pada Sabtu lalu melaporkan bahawa Allahyarham berada dalam keadaan tenat sejak dua minggu dirawat di hospital berkenaan.
Perkara itu dimaklumkan oleh anak sulungnya, Muhammad Hanis, menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Pada 3 Jun lalu, Kamal telah dikejarkan ke Hospital Melaka selepas keluarganya bimbang dengan perubahan sikap serta keadaan kesihatan yang semakin merosot. Susulan itu, Kamal dilaporkan telah ditidurkan akibat komplikasi paru-paru dan kekurangan oksigen.