Pelajar madrasah maut dilempar kayu oleh guru.
Seorang pelajar Madrasah Tsanawiyah di Blitar, wilayah Jawa Timur, terbunuh selepas kepalanya terkena paku pada kayu yang dilempar oleh seorang guru, lapor laman berita Detik semalam.
Menurut Ketua Polis Blitar, Samsul Anwar, kejadian tragis yang berlaku pada 22 September lalu itu bermula apabila mangsa yang berusia 13 tahun bersama beberapa pelajar lain berlengah-lengah untuk menunaikan solat sunat duha.
“Guru itu menjadi emosi kerana pelajar-pelajar tersebut melengah-lengahkan diri untuk solat duha. Dalam keadaan berang, dia melemparkan kayu yang mempunyai paku ke arah kepala mangsa.
“Mangsa dilaporkan rebah dan tidak sedarkan diri,” kata Samsul.
Mangsa kemudian dibawa ke hospital berdekatan sebelum disahkan meninggal dunia.
“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut,” tambah Samsul.