Pelajar IPTA disyaki jual video lucah sendiri harga RM150 raih pendapatan bulanan RM3,000.
Seorang pelajar lelaki Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) disyaki menjual video lucah pada harga RM150 di platform X dengan meraih pendapatan bulanan sehingga RM3,000.
Siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati, kegiatan suspek bermula sejak 2021 dengan memuat naik semula kandungan lucah sedia ada yang dikongsi pengguna lain di aplikasi sama.
Ujar SKMM, modus operandi suspek kemudiannya berubah kepada memuat naik dan menjual video lucah adegan sendiri bersama wanita yang dikenali sehingga memperoleh lebih 100,000 pengikut di platform itu.
“Suspek menjadikan penjualan video lucah sebagai sumber pendapatan dan hasil pendapatan bulanannya mencecah RM3,000 dengan anggaran harga RM150 bagi setiap satu video,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ujar SKMM, pelajar lelaki tersebut telah dipanggil baru-baru ini untuk merakamkan percakapan.
“Hasil daripada operasi pemeriksaan di sebuah premis di Shah Alam, pasukan penguatkuasaan SKMM telah bertindak menyita satu unit telefon bimbit serta kad sim dipercayai milik suspek yang telah digunakan untuk memuat naik kandungan tersebut bagi membantu siasatan.
“Turut diambil keterangan adalah rakan suspek, seorang wanita yang merupakan pelajar Institut Pengajian Awam Swasta (IPTS),” jelas suruhanjaya itu.
Menurutnya, tindakan suspek yang menjual video lucah merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).
“Sekiranya disabitkan kesalahan, suspek berdepan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.