Pekerja wanita dedah perbualan majikan tolak cuti kecemasan hingga anak sakit meninggal dunia.
Seorang pekerja di Indonesia telah menarik perhatian ramai selepas mendedahkan bahawa anaknya meninggal dunia selepas permintaan cuti kecemasannya ditolak oleh majikan, lapor portal berita Abata News semalam.
Gambar yang dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @uwr2021 memaparkan perbualan antara wanita itu dan majikannya mengenai permintaan cuti yang ditolak.
Wanita tersebut meminta untuk pulang ke rumah kerana anaknya sedang sakit.
Lebih mengejutkan, majikan tersebut tanpa belas kasihan bertanya tentang suaminya dan menyuruh suaminya menguruskan anak yang sakit itu.
“Saya tetap pulang ke rumah meskipun cuti ditolak oleh majikan. Anak saya meninggal dunia. Ini adalah penyesalan yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila,” kata si ibu.
Perkongsian itu mencatatkan lebih 578,200 tontonan dan menimbulkan kemarahan ramai netizen.
“Apa salahnya menjadi manusia yang baik dan memahami!” kata seorang netizen.