Pekerja terlibat kemalangan sewaktu bekerja boleh tuntut rawatan percuma di Klinik PERKESO

Photo of author

By Syima Iza

Pekerja terlibat kemalangan sewaktu bekerja boleh tuntut rawatan percuma di Klinik PERKESO.

Kemalangan di tempat kerja, terutamanya di lokasi berisiko tinggi seperti tapak pembinaan dan jalan raya, boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa diduga. Selain itu, penyakit dan keuzuran juga boleh menyebabkan pekerja mengalami kesukaran untuk menjalankan tugas dengan baik.

Prihatin terhadap kesihatan pekerja di Malaysia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membolehkan pencarum membuat tuntutan faedah jika memerlukan rawatan akibat kemalangan di tempat kerja dengan mengisi Borang 34.

Pekerja terlibat kemalangan sewaktu bekerja boleh tuntut rawatan percuma di Klinik PERKESO

Tidak Perlu Lagi Isi Borang, Terus ke Klinik Panel PERKESO

Terbaharu, pencarum PERKESO tidak perlu lagi membayar rawatan terlebih dahulu dan membuat tuntutan untuk mendapatkan rawatan perubatan di klinik panel.

Menurut laporan Astro Awani, Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong memaklumkan bahawa pencarum PERKESO boleh menerima rawatan secara percuma mulai tahun ini di lebih 1,400 klinik panel PERKESO di seluruh negara.

Namun, kemudahan ini hanya melibatkan kes bencana pekerjaan serta penyakit khidmat sahaja.

“Anda (pencarum) boleh pergi terus ke mana-mana 1,400 klinik panel PERKESO di Malaysia dan mendapatkan rawatan perubatan tanpa perlu membayar apa-apa.”

Sebelum ini, pencarum perlu membayar sendiri kos rawatan sekitar RM150 hingga RM200 dan membuat tuntutan semula kepada PERKESO, yang mengambil masa sekitar sebulan untuk diproses.

Kini, pencarum hanya perlu menunjukkan kad pengenalan di kaunter klinik untuk tujuan semakan dan terus menerima rawatan secara percuma.

Kemudahan ini diperkenalkan bagi meringankan beban pekerja, khususnya golongan berpendapatan rendah, dalam mendapatkan rawatan tanpa perlu risau mengenai kos perubatan.

Statistik Kemalangan di Tempat Kerja 2024 Menurun

Terdahulu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, mendedahkan bahawa PERKESO telah merekodkan sebanyak 66,574 kes bencana pekerjaan di Malaysia sepanjang 2024.

Angka ini menunjukkan penurunan 2.4% berbanding 68,220 kes yang direkodkan pada tahun 2023.

Dari segi jumlah tuntutan, PERKESO telah membayar sebanyak RM8 juta bagi 20,000 kunjungan ke klinik panel.

Akta Kerja (Pindaan) 2022: Hak & Kebajikan Pekerja

Sebagai pekerja dan majikan, adalah penting untuk memahami Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022, yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2023. Antara pindaan utama ialah:

✅ Waktu bekerja dikurangkan – Dari 48 jam kepada 45 jam seminggu (tidak termasuk waktu rehat).
✅ Cuti bersalin dipanjangkan – Dari 60 hari kepada 98 hari untuk semua pekerja tanpa mengira pangkat.
✅ Perlindungan pekerja wanita hamil – Majikan dilarang memecat pekerja wanita hamil kecuali dalam kes seperti:

  • Melanggar syarat kontrak kerja.
  • Masih melakukan salah laku selepas diberikan surat amaran.
  • Syarikat muflis dan perlu ditutup.✅ Cuti sakit (MC) berbayar – 14, 18, atau 22 hari, berasingan dengan Cuti Hospitalisasi 60 hari.

    ✅ Cuti paterniti – Tujuh hari untuk pekerja yang telah bekerja dengan majikan sama sekurang-kurangnya 12 bulan.

    ✅ Kesedaran tentang gangguan seksual – Majikan wajib menampal notis mengenai kesedaran gangguan seksual di tempat kerja.

Semoga rakyat Malaysia lebih cakna mengenai hak dan kebajikan mereka sebagai pekerja. Jangan lupa kongsikan maklumat ini agar lebih ramai yang mendapat manfaat!

Baca Juga:
“Dulu jadi syurga tempat beli-belah para wanita, sekarang dah jadi ‘Bandar Hantu’”
KKM tampil jelaskan tentang tekak orang Cina & tekak orang Melayu
Ini cara renew ‘Touch N Go’ dalam kad pengenalan yang tamat tempoh