Pekerja saman majikan kerana gajinya tidak dinaikkan selama 15 tahun kerja. Seorang pekerja kanan sektor teknologi maklumat (IT) di Britain yang mengambil cuti sakit sejak 2008 mahu menyaman sebuah syarikat gergasi teknologi kerana didakwa melakukan diskriminasi dengan tidak memberi kenaikan gaji sepanjang tempoh itu, lapor akhbar Metro UK semalam.
Ian Clifford mendakwa menjadi mangsa diskriminasi oleh syarikat IBM kerana gajinya tidak dinaikkan dalam tempoh 15 tahun dia tidak hadir ke pejabat.
Pakar IT itu dibayar lebih £54,000 (300,242) setahun dan dijamin menerima gaji sehingga umurnya 65 tahun.
Namun, Clifford berhujah majikannya tidak cukup ‘bermurah hati’ dengan mendakwa bahawa gaji sebanyak £54,028 (RM300,398) itu akan ‘berkurangan’ dari semasa ke semasa disebabkan oleh kadar inflasi.
Bagaimanapun, tuntutannya telah ditolak oleh sebuah tribunal pekerjaan di Reading baru-baru ini dengan hakim memberitahunya, dia telah diberi manfaat yang sangat besar dan layanan yang baik daripada syarikat berkenaan.
Clifford mengambil cuti sakit pada September 2008 dan tidak bekerja sehingga 2013 apabila membangkitkan tentang layanan tidak adil terhadapnya selepas mengadu tidak menerima kenaikan gaji dan bayaran percutian untuk tempoh lima tahun.
Pada April 2013, ketika Clifford berusia pertengahan 30-an, perjanjian kompromi telah dicapai dan aduannya diselesaikan dengan meletakkannya dalam pelan hilang upaya dalam syarikat itu.
Berdasarkan pelan itu, seseorang yang tidak dapat bekerja tidak diberhentikan tetapi kekal sebagai pekerja dan tiada kewajipan untuk bekerja, kata panel pekerjaan itu.