Pekerja pasaraya kutuk penyerang TFC dalam loghat Terengganu dikecam netizen. Kita akui sebagai kelab penyokong, kita tak puas hati dengan prestasi TFC (Terengganu FC) dalam dua perlawanan sebelum ini, tapi jangan sampai mengutuk atau menghina pemain, kata Pengerusi Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu Darul Iman (TFFC), Mazuki Muhamad.
Ia susulan penularan video berdurasi 13 saat menerusi aplikasi TikTok memaparkan seorang pekerja sebuah pasar raya mengutuk secara berdepan penyerang pasukan bola sepak TFC, Ivan Mamut dalam dialek Terengganu ketika pemain kelahiran Croatia itu sedang berurusan untuk membeli barangan basah.
Marzuki berkata, tindakan itu adalah keterlaluan dan tidak wajar berlaku serta tidak mencerminkan jati diri masyarakat negeri ini.
“Memang dua perlawanan sebelum ini kami tak berpuas hati dengan kualiti yang ditunjukkan oleh pemain import.
“Tipu kalau kami tak marah dengan kualiti import sekarang ini. Marah itu ada tapi jangan sampai menghina, mengutuk lebih-lebih lagi seperti yang tular di TikTok baru-baru ini,” katanya.
Justeru, katanya, beliau berharap tiada lagi tindakan keterlaluan sedemikian yang akan berlaku selepas ini.
@majoritiofficial Amboi, kalau marah kot ya pun jangan sampai begitu sekali. Tapi pekerja yang kutuk Ivan ni dah minta maaf, menurut rakan pekerja dia. #majoriti #terengganufc #ivanmamut ♬ original sound – Majoriti Official
“Harap lepas ini kalau nak buat sesuatu, fikir dulu dan apa yang berlaku itu tidak berulang lagi pada masa akan datang sebab ia mencerminkan budi pekerti dan akhlak kita. Bukan budaya orang Pantai Timur.
“Kita juga harap tidak lagi berlaku penyebaran video sebegitu kerana ia juga dikhuatiri akan menjejaskan nama kelab,” ujarnya.