Peguam bapa bayi ‘Ditahan’ di hospital beri amaran tarik balik tuduhan atau berdepan tindakan saman

Photo of author

By Syima Iza

Peguam bapa bayi ‘Ditahan’ di hospital beri amaran tarik balik tuduhan atau berdepan tindakan saman.

Bapa kepada bayi lelaki yang dinamakan Adham, yang mayatnya ‘disimpan’ oleh sebuah hospital swasta, memberi tempoh tiga jam sehingga tengah malam tadi kepada netizen yang melontarkan fitnah dan tuduhan di media sosial untuk menarik balik kenyataan mereka atau berdepan tindakan saman.

Peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar yang mewakili Safwan Roshdy, berkata pihaknya sudah mengenal pasti beberapa pemilik akaun media sosial yang membuat fitnah terhadap anak guamnya, termasuk dakwaan bahawa beliau tidak berkahwin.

Peguam bapa bayi 'Ditahan' di hospital beri amaran tarik balik tuduhan atau berdepan tindakan saman

Beliau menambah, pihaknya telah membuat semakan terhadap sijil perkahwinan anak guamnya melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) yang mengesahkan kesahihan sijil tersebut.

“Kami memberi tempoh tiga jam (sehingga 12 tengah malam ini) untuk padamkan hantaran atau komen yang berunsur fitnah tersebut,” katanya.

“Jangan buat andaian yang sempit. Kami sudah mengenal pasti (netizen) sama ada yang membuat siaran langsung di TikTok dan sebagainya,” kata beliau ketika ditemui di kediamannya di Kota Damansara, malam tadi.

Mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak hospital berhubung kes anak guamnya itu, Ahmad Zaharil berkata, pihaknya akan membuat laporan polis dalam masa terdekat sebelum tindakan undang-undang diambil.

Beliau berkata, tindakan saman sivil dan jenayah mungkin boleh diambil terhadap pihak hospital kerana kesalahan menyimpan jenazah bayi selama 16 hari disebabkan oleh bapa yang tidak menjelaskan bil rawatan.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya perlu mendapatkan siasatan lanjut daripada pihak polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung perkara itu.

Sementara itu, Safwan, 22, mengakui kecewa apabila terdapat pihak yang melemparkan pelbagai tuduhan termasuk dakwaan tidak berkahwin, selain turut mencaci dan mengutuknya.

Pekerja kilang itu berkata, dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang dan menyerahkan perkara tersebut kepada peguamnya untuk tindakan lanjut.

Baca Lagi:
Misteri kemunculan dron besar di ruang udara New Jersey cetus kebimbangan penduduk
Rumah ditenggelami banjir, Al-Quran & kitab agama milik lelaki ini tidak basah jadi perhatian ramai
Ramai peniaga teh ais serbu majlis ilmu, tiru gaya ‘Pak Sun’ mahu cepat kaya