Peguam ajar 4 cara mudah nak selesaikan masalah geran bertindih di pejabat tanah.
Isu geran tanah bertindih bukanlah perkara baharu yang membelenggu segelintir masyarakat. Malah, sebelum ini, tular di media sosial apabila pelakon Amar Baharin turut berdepan masalah yang sama dan telah menunggu selama 10 tahun untuk penyelesaian mengenai pertindihan geran tanah milik ibunya.
Terkini, seorang wanita meluahkan isu serupa di Facebook Tanya Peguam selepas membeli tanah daripada adik-beradiknya.
Wanita itu menyatakan bahawa dia hanya menyedari masalah pertindihan geran ketika ingin membuat pertukaran nama. Proses yang mengambil masa panjang ini menyebabkan ramai pemilik dan pewaris menjadi buntu tentang langkah yang boleh diambil untuk mempercepatkan proses tersebut.
Jika anda juga menghadapi situasi yang sama, berikut adalah empat langkah yang boleh diambil seperti dikongsikan oleh peguam dengan akaun Hawari Law ketika menjawab persoalan wanita tersebut:
- Buat aduan terus ke Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri di mana tanah terletak dan pastikan semua dokumen berkaitan dibawa sebagai sokongan.
- Jika mendapati terdapat unsur kelewatan yang tidak munasabah daripada pihak pejabat tanah, anda boleh membuat aduan ke Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) untuk siasatan lanjut.
- Aduan juga boleh dibuat melalui portal aduan awam di laman web eAduan KPDN yang disediakan oleh pihak kerajaan untuk isu-isu seperti ini.
- Jika masalah berlarutan tanpa penyelesaian, anda boleh membawa perkara ini ke peringkat lebih tinggi dengan menghantar surat atau membuat aduan kepada pejabat Menteri Besar atau Exco Tanah negeri.