Pegawai pemasaran raih pendapatan hingga RM50,000 sebulan rupanya jual makanan ringan mengandungi ganja secara ‘online’

Photo of author

By Syima Iza

Pegawai pemasaran raih pendapatan hingga RM50,000 sebulan rupanya jual makanan ringan mengandungi ganja secara ‘online’.

Hidup mewah seorang pegawai pemasaran yang memperoleh pendapatan antara RM30,000 hingga RM50,000 sebulan dengan menjual dadah terbongkar melalui rampasan pelbagai bentuk ganja bernilai RM6.2 juta dalam serbuan di sebuah kondominium di Damansara pada Rabu.

Suspek yang merupakan lelaki warga tempatan itu dipercayai beroperasi secara solo dengan menjual pelbagai jenis dadah, termasuk makanan ringan yang mengandungi ganja, sejak setahun lalu.

Pegawai pemasaran raih pendapatan hingga RM50,000 sebulan rupanya jual makanan ringan mengandungi ganja secara 'online'

Suspek turut menyewa sebuah kondominium yang dijadikan tempat untuk membungkus semula ganja tersebut sebelum dijual secara dalam talian.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek berumur 37 tahun itu ditahan sekitar jam 1.30 petang oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Menurutnya, suspek yang dilihat dalam keadaan mencurigakan itu diberkas di hadapan sebuah kondominium bersama dadah jenis ganja seberat 8.5 kilogram.

“Serbuan kemudiannya dijalankan di sebuah unit kondominium berkenaan, di mana polis merampas 689 peket makanan ringan yang mengandungi ganja seberat 37.9 kilogram.
“Rampasan juga melibatkan bunga ganja (140.9 kg), cendawan yang mengandungi dadah (847g), dan cecair vape yang dicampur dengan ganja sebanyak anggaran 80 mililiter,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Selasa.

Hussein berkata, siasatan mendapati suspek dipercayai menggunakan khidmat kurier bagi urusan penghantaran dadah.

“Kesemua dadah ini dipercayai dibeli secara dalam talian dan suspek kemudiannya turut menjual menggunakan platform sama untuk pasaran dalam dan luar negara.

“Suspek didapati bergerak secara solo dan menggunakan perkhidmatan kurier untuk mendapatkan bekalan serta menjual dadah yang dibungkus ini,” katanya.

Tambahnya, semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Suspek yang telah berkahwin dan mempunyai dua anak ini dipercayai telah menjalankan kegiatan pengedaran dadah ini sejak setahun yang lalu.

“Kesemua dadah yang dirampas terdiri daripada pelbagai jenis dan bentuk, antaranya ada yang cecair untuk vape, makanan ringan seperti coklat kunyah, coklat hitam dan beberapa jenis lain lagi,” katanya.

Hussein berkata, nilai keseluruhan dadah yang dirampas ini dianggarkan bernilai kira-kira RM6.2 juta. Polis turut menyita sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 bernilai RM76,000.

“Suspek kini direman selama enam hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Baca Lagi:
Tak bayar caruman Perkeso pekerja, syarikat Bubblebee didenda RM17,500
10 remaja cucuk ubat kuat, kemaluan bertukar jadi hitam
Guru paksa anak murid beli insurans jika mahu dilantik jadi pengawas sekolah