Pegawai Jakim kutuk Kerajaan Perpaduan dalam ceramah di masjid. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan sudah memulakan siasatan berhubung video ceramah tular oleh salah seorang kakitangannya yang didapati menimbulkan reaksi tidak senang netizen.
Jakim menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata, pegawai berkenaan sudah dipanggil untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, pihaknya juga telah memulakan prosiding tatatertib terhadap pegawai itu dan tidak akan berkompromi dengan sebarang perlakuan yang mencemarkan nama baik perkhidmatan awam.
“Pihak pengurusan tertinggi Jakim sedar akan video tular ceramah yang disampaikan oleh seorang pegawai itu yang dilihat mengundang kemarahan netizen,” katanya.
Terdahulu, tular video di aplikasi TikTok memaparkan seorang pegawai Jakim berjawatan Penolong Pengarah Kanan dan juga seorang penceramah yang mengutuk Kerajaan Perpaduan.
Ceramah itu dipercayai dirakam di sebuah masjid di Selangor pada 2 Januari lalu.
Kandungan ceramah itu antara lain turut menyentuh perihal lagu ‘Hoi, hoi ya hoi’ yang dijadikan senjata politik sebuah parti sebelum pilihan raya umum lalu.
Rata-rata komen yang ditinggalkan netizen terhadap video itu antara lain mengecam tindakan ustaz berkenaan kerana menjadikan masjid untuk mengutuk Kerajaan Perpaduan.