Patut laku keras, peniaga ini tambah cacing tanah kering dalam kuah laksa.
Seorang peniaga di Singapura menjual laksa dengan kuah yang mengandungi cacing tanah kering di sebuah pusat beli-belah, lapor laman berita Stomp semalam.
Menurut jurnal sains, cacing tanah telah lama dijadikan makanan manusia kerana khasiat perubatannya. Dalam perubatan tradisional Cina, cacing tanah kering dikenali sebagai dilong.
Resipi Turun-Temurun
Peniaga tersebut, Zac Choy, 54, memberitahu akhbar Shin Min Daily News bahawa penggunaan dilong dalam kuah laksa adalah tradisi yang diwarisi daripada ibunya.
“Ibu saya pernah menjual laksa di Melaka.
“Dia menyerahkan resipi itu kepada saya dan meminta saya menambah baik. Ketika mencuba produk siap, saya rasa ia tidak cukup enak, seolah-olah kehilangan bahan utama.
“Atas cadangan ibu, saya menambah cacing tanah kering ke dalam kuah untuk memberikan rasa yang lebih segar dan lazat,” katanya.
Reaksi Pelanggan
Choy turut berkongsi bahawa walaupun pada awalnya pelanggan terkejut apabila mengetahui bahan rahsia dalam laksa tersebut, mereka akhirnya tidak terlalu peduli kerana menyukai rasanya.
“Saya secara beransur-ansur mendapat pelanggan tetap, dan apabila mereka tahu perkara sebenar, mereka tetap menikmatinya,” tambah Choy.