Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggerakkan sepasukan penyelam (Unit Forensik) ke lokasi penemuan mayat Nur Farah Kartini Abdullah, 25, di Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor esok.
Ia bagi melakukan pencarian telefon pintar milik mangsa di kawasan parit air berhampiran ladang sawit berkenaan.
Difahamkan, telefon pintar itu adalah bukti penting dan akan membantu siasatan pembunuhan wanita terbabit.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus ketika dihubungi mengesahkan operasi pencarian berkenaan.
Terdahulu, suspek kes pembunuhan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu dibawa ke lokasi kejadian bagi membantu siasatan polis, pada 2.30 petang, hari ini.
Suspek berusia 26 tahun yang tiba dengan baju lokap berwarna oren dan memakai pelitup muka diiringi polis ke kawasan ladang sawit Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam, di sini.
Mereka yang hadir menaiki empat kenderaan tidak bertanda dan berada di tempat kejadian selama kira-kira 15 minit sebelum beredar.
Mayat Nur Farah Kartini ditemukan kira-kira 6 petang semalam dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.
Susulan itu, polis turut menahan seorang lelaki yang juga penjawat awam bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Polis Perak kemudian mengesahkan suspek adalah seorang anggotanya berpangkat lans koperal yang bertugas di Balai Polis Slim River di Tanjung Malim dan sudah lima tahun berkhidmat.
Suspek kemudian direman tujuh hari sehingga 22 Julai untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.